Nak beli apa? Cara pilih saham atau ETF sendiri — pokok keputusan untuk beginner

Soalan paling kerap dalam DM Daus ialah "saham apa nak beli". Daus tak akan pilihkan untuk anda, tapi halaman ni ajar cara memilih sendiri. Pokok keputusan, bila ETF lebih sesuai, laluan Syariah dalam satu tempat, satu ETF atau pecah, sekali gus atau DCA, bila masa sesuai beli, cara elak scam pre-IPO, dan lembaran kerja untuk tulis pilihan anda.

📂 Jadi Pelabur⏱️ Baca 16 minit

“Tuan, saham apa bagus nak beli?”

Ini soalan yang paling kerap masuk dalam DM Daus. Ramai tanya benda yang sama dengan ayat berbeza, dan ada yang terus minta Daus pilihkan.

Daus faham kenapa orang tanya. Ada beribu saham dan ETF dalam app, dan semua nampak sama. Tapi Daus tak akan pilihkan untuk anda, atas dua sebab.

Sebab pertama, undang-undang. Beri cadangan beli sekuriti tertentu kepada seseorang ialah nasihat pelaburan, dan di Malaysia itu perlukan lesen dari Suruhanjaya Sekuriti. Daus ialah Marketing Representative Moomoo, bukan penasihat pelaburan berlesen.

Sebab kedua lebih penting. Daus tak kenal keadaan anda. Daus tak tahu bila anda perlukan duit ni, berapa gaji anda, hutang apa yang anda ada, atau anda tidur lena ke tak bila akaun turun 20%. Saham yang sesuai untuk Daus boleh jadi salah untuk anda.

Jadi Daus buat benda yang lebih berguna. Daus ajar cara memilih, supaya lepas ni anda boleh buat keputusan sendiri, dan faham sebab di sebaliknya.


Tak suka baca? Tengok video pendek ni

Buat WatchlistVideo 30 saat · ada suara dan sari kata
Price AlertVideo 37 saat · ada suara dan sari kata

Bahagian 1 — Pokok keputusan: lima soalan, ikut turutan

Setiap pelabur yang tahu apa dia buat, sedar atau tak, jawab lima soalan ni sebelum beli. Turutannya penting. Kebanyakan orang mula dari soalan terakhir (“saham mana?”) dan langkau empat yang pertama.

1. Duit ni untuk apa?

Matlamat tentukan segala-galanya. Duit untuk bersara 25 tahun lagi dilabur dengan cara yang sangat berbeza daripada duit untuk deposit rumah tahun depan. Tulis satu matlamat yang jelas. “Nak kaya” bukan matlamat. “Nak ada RM50,000 untuk pendidikan anak dalam 12 tahun” ialah matlamat.

2. Berapa lama duit ni boleh duduk?

Ini soalan yang paling ramai langkau, dan yang paling penting.

  • Bawah 3 tahun: saham bukan tempat yang sesuai. Pasaran boleh jatuh 20% atau 30% dan ambil masa bertahun untuk pulih. Kalau anda terpaksa keluarkan duit masa tu, anda kunci kerugian.
  • 3 hingga 5 tahun: sebahagian boleh masuk saham atau ETF, dan bakinya lebih baik di tempat yang stabil.
  • Lebih 5 tahun: inilah tempoh yang sesuai untuk saham dan ETF. Turun naik jangka pendek ada masa untuk pulih.

3. ETF atau saham satu-satu?

Bahagian 2 di bawah terang perbezaannya dengan panjang. Ringkasnya, kalau anda tak ada masa atau minat untuk kaji syarikat, ETF (Exchange Traded Fund)Dana yang pegang banyak saham sekali gus, dan diniagakan macam saham biasa.Lihat dalam glosari → indeks yang luas hampir selalu pilihan yang lebih masuk akal.

4. Patuh Syariah ke tak?

Kalau ya, ini bukan penapis terakhir. Ia penapis awal, sebab ia kecilkan senarai pilihan anda dari mula. Bahagian 3 kumpul semua alat Syariah dalam satu tempat.

5. Berapa sebulan?

Jumlah bulanan tentukan berapa banyak benda yang anda patut beli. Setiap order ada yuran, jadi dengan RM100 sebulan, pecahkan kepada lima ETF cuma bermakna anda bayar lima kali yuran. Jumlah yang kecil lebih sesuai untuk satu pilihan yang luas, dan lebih jimat kalau anda kumpul dulu dan beli sebulan sekali.

Satu nota: RM100 sebulan tu duit tambahan lepas akaun dah dibuka. Untuk deposit pertama, Daus cadang sediakan RM1,000 dulu. Sebabnya ada dalam modal kecil, nak mula berapa.

Jumlah yang betul ialah jumlah yang anda boleh teruskan 24 bulan tanpa rasa tercekik. Konsisten lebih bernilai daripada besar.

Cuba sekarang

Jawab empat soalan di bawah. Hasilnya ialah arah ikut kelas aset dan tutorial yang patut anda baca seterusnya. Ia sengaja tak sebut nama saham atau ETF.

Jawab 4 soalan, dapat arah anda

1. Bila anda mungkin perlukan duit ni semula?
2. Berapa banyak masa anda sanggup luang untuk kaji syarikat setiap bulan?
3. Anda nak pelaburan patuh Syariah sahaja?
4. Berapa anda boleh labur setiap bulan tanpa rasa tercekik?

Jawab keempat-empat soalan di atas untuk nampak arah anda.


Bahagian 2 — Bila ETF lebih sesuai, bila saham satu-satu sesuai

Bayangkan anda nak makan nasi campur. Saham satu-satu macam anda pilih satu lauk sahaja. Kalau lauk tu sedap, memang puas. Kalau basi, satu pinggan rosak. ETF pula macam anda ambil sedikit setiap lauk dari seluruh gerai. Tak ada satu lauk yang boleh rosakkan pinggan anda.

ETF indeks yang luas Saham satu-satu
Berapa syarikat sekali beli Puluhan hingga ribuan Satu
Kalau satu syarikat bankrap Kesan kecil, sebab ia satu daripada ratusan Anda boleh hilang hampir semua modal dalam saham tu
Masa untuk kaji Sedikit. Faham indeks dan yuran dah cukup Banyak. Penyata kewangan, persaingan, pengurusan
Perlu pantau Jarang Kerap, sekurang-kurangnya setiap suku tahun
Peluang menang besar Ikut pasaran Lebih tinggi, tapi peluang kalah besar pun sama tinggi

ETF lebih sesuai kalau:

  • Anda baru mula dan belum pernah baca penyata kewangan.
  • Anda tak ada masa atau tak minat nak kaji syarikat.
  • Anda nak labur jumlah tetap setiap bulan dan biar ia jalan sendiri.
  • Anda nak tidur lena walaupun satu syarikat besar tiba-tiba jatuh.

Saham satu-satu sesuai kalau:

  • Anda dah ada asas ETF, dan saham satu-satu cuma bahagian kecil portfolio.
  • Anda betul-betul faham bisnes syarikat tu, dan boleh terangkan cara ia buat duit dalam dua ayat.
  • Anda sanggup baca laporan kewangan setiap suku tahun.
  • Anda boleh terima kalau saham tu jatuh 50% dan tak pulih langsung.

Kalau anda nak mula belajar kaji syarikat, baca analisis fundamental dan gaya fundamental dengan screener. Tapi Daus cadangkan anda mula dengan paper trading dulu sebelum guna duit sebenar untuk saham satu-satu.


Bahagian 3 — Laluan Syariah dalam satu tempat

Tak suka baca? Tengok video pendek ni

Saham Syariah sahajaVideo 39 saat · ada suara dan sari kata

Kalau anda nak labur patuh Syariah sahaja, ni empat alat yang anda perlukan, ikut turutan yang Daus sendiri guna.

1. ETF yang jejak indeks Syariah. Ada ETF yang pegang syarikat dari S&P 500 yang dah ditapis ikut kriteria Syariah, contohnya SPUS, dan ada yang pegang syarikat patuh Syariah di luar Amerika, contohnya SPWO. Dua ni contoh untuk anda cari dan kaji sendiri, bukan cadangan beli. Syarikat perbankan dan insurans konvensional, alkohol, dan syarikat yang terlalu banyak hutang berfaedah dikeluarkan dari indeks tu. Tutorial Compare saham & ETF letak ETF Syariah sebelah-menyebelah dengan ETF S&P 500 biasa, supaya anda nampak beza isi, yuran dan prestasi dengan mata sendiri.

2. Penapis Shariah dalam Screener. Kalau anda nak cari saham satu-satu, Screener dalam Moomoo ada penapis Shariah: Compliant. Cari penapis tu guna kotak Search di atas skrin Select Filters, dan gabungkan dengan penapis lain. Untuk saham Bursa, ada jalan lebih pendek: Markets → MY → Shariah. Langkah penuh ada dalam tapis Syariah dalam tutorial screener dan gaya fundamental.

  1. Penapis Syariah
Chip Shariah: Compliant pada screener yang tersimpan.

3. Untuk Bursa, semak senarai rasmi SC. Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti terbitkan Senarai Sekuriti Patuh Syariah dua kali setahun, biasanya pada bulan Mei dan November. Status saham boleh berubah dalam setiap semakan. Jadi walaupun penapis dalam app memudahkan kerja, senarai SC ialah rujukan muktamad untuk saham Bursa. Cari “Senarai Sekuriti Patuh Syariah” di laman rasmi SC.

4. Emas pun ada versi Syariah. Kalau anda nak pendedahan kepada emas, ada dua jalan dalam ringgit yang ada penasihat Syariah: ETF Bursa 0828EA dan dana unit trust AHAM Shariah Gold Tracker dalam MYR Funds. Cara beli dua-dua ada dalam emas dalam ringgit, dan cara jual dana tu dalam tutorial jual unit trust.

5. Kenapa VOO biasa tak patuh Syariah, dan SPUS lawan HLAL. Dua soalan ni dijawab dengan screenshot dalam saham halal ke?

Patuh Syariah bukan bermaksud risiko rendah

Status Syariah beritahu anda apa yang dipegang, bukan berapa selamat ia. ETF Syariah tetap naik turun macam ETF biasa, dan kadang-kadang lebih teruk sebab ia pegang lebih sedikit syarikat dan lebih tertumpu pada sektor teknologi.


Bahagian 4 — Apa yang Daus sendiri buat (contoh, bukan cadangan)

Daus kongsi ni sebab ramai tanya, dan sebab contoh sebenar lebih senang faham daripada teori. Tapi ingat, ini keadaan Daus. Umur, pendapatan, matlamat dan tahan risiko Daus lain dengan anda.

Keadaan akaun Moomoo Daus pada 18 Oktober 2026 (nama sahaja, tanpa nilai RM):

  • Bahagian terbesar dalam ETF indeks yang luas. Pegangan paling besar Daus ialah VOO (ETF S&P 500), dan ia juga yang paling banyak untung. Selain tu Daus pegang MGK (syarikat besar Amerika yang berasaskan pertumbuhan), VT (syarikat seluruh dunia) dan SPUS (S&P 500 versi Syariah). Keempat-empat ETF ni sedang untung.
  • Saham US satu-satu cuma bahagian kecil. NVDA, MSFT, GOOGL, AVGO dan TSM, serta FUTU (syarikat induk Moomoo). Kebanyakannya untung. FUTU sedang rugi, dan TSM rugi sedikit.
  • Saham Bursa pun bahagian kecil, dan keseluruhannya rugi sedikit. ECOSHOP dan VITROX untung. KJTS, TENAGA dan 5ER rugi, dan 5ER (IPO) yang paling teruk. Jadi ya, Daus pun pegang saham yang rugi.
  • RSP mingguan kecil. Daus ada lima RSP dalam Moomoo, setiap satu USD25 seminggu: VOO, SPUS, GOOGL, NVDA dan FUTU. Belian berjalan sendiri tanpa Daus perlu buka app. Tapi Daus kena jujur pasal kos: untuk belian sekecil USD25, yuran lebih kurang USD0.49 setiap kali, iaitu sekitar 2% (contoh sebenar dari belian VOO Daus). Itu peratus yang tinggi. Sebab tu untuk modal kecil, Daus cadang beli lebih jarang tapi lebih besar, contohnya kumpul dan beli sebulan sekali.
  • Duit yang Daus perlukan dalam masa terdekat tak masuk saham langsung. Ia duduk dalam simpanan yang harganya tetap.

Kalau anda perasan, corak Daus hampir sama dengan pokok keputusan di atas: asas yang luas dulu, saham satu-satu sebagai tambahan kecil, dan semuanya automatik.


Bahagian 5 — Tulis pilihan anda

Keputusan yang ditulis lebih susah nak dilanggar bila pasaran jatuh. Isi lembaran kerja ni. Kalau anda nak Daus tengok, tekan butang hijau dan hantar di WhatsApp. Daus tak akan kata pilihan anda betul atau salah, tapi Daus boleh tanya soalan yang anda mungkin terlepas.

Pilihan saya

Jawab pokok keputusan di atas dulu, dan jawapannya akan disertakan sekali dalam mesej.

Hantar ke Daus di WhatsApp

Jawapan anda tersimpan dalam browser ni sahaja. Tiada apa dihantar melainkan anda tekan Send dalam WhatsApp.

Medan terakhir tu ramai orang tinggal kosong, tapi ia yang paling berguna. Kalau anda tak tahu bila anda akan jual, anda akan jual masa panik. Tutorial jual saham ada tiga sebab yang sah untuk menjual.


Bahagian 6 — Dah tahu nak beli apa. Lepas tu?

Lepas pilih, soalan biasanya bertukar kepada bila, berapa dan macam mana. Ni enam soalan yang paling kerap masuk. Semua jawapan di bawah ialah cara berfikir, bukan arahan beli. Ini bukan nasihat kewangan.

Baru deposit RM1,000: beli satu ETF dulu, atau pecah?

Untuk kebanyakan beginner, satu ETF indeks yang luas dulu ialah permulaan yang biasa. ETF macam tu dah pegang ratusan syarikat, jadi satu belian pun dah dapat kepelbagaian.

Sebab kedua ialah yuran. Setiap order ada yuran, jadi lebih sedikit order yang lebih besar biasanya lebih jimat daripada banyak order kecil. Contohnya, untuk saham US, order RM1,000 kena lebih kurang 0.5% yuran, tapi order RM100 kena lebih kurang 2%. Pecah RM1,000 jadi lima order kecil bermakna anda bayar yuran lima kali.

Yuran setiap order saham US

Order bawah 1 unit (fractional, termasuk kebanyakan belian RSP kecil): platform fee 0.99% daripada nilai order, maksimum USD0.99, tanpa komisen. Order 1 unit ke atas: platform fee USD0.99 setiap order (komisen 0.03% ditanggung voucher 0 komisen user baru). Setiap order juga kena duti setem Malaysia RM1 bagi setiap RM1,000 atau sebahagiannya (lebih kurang USD0.24).

Contoh sebenar dari akaun Daus: belian VOO USD25 kena platform fee USD0.25 + duti setem USD0.24 = USD0.49 (lebih kurang 2%). Jadual penuh: yuran Moomoo.

Lepas tu, kalau nak tambah ETF kedua, pastikan isinya berbeza dari yang pertama. Cara semak pertindihan ada dalam urus portfolio.

Masuk sekali gus, atau sikit-sikit (DCA)?

Dua-dua cara ada orang guna.

  • Sekali gus bermaksud semua duit terus kerja dalam pasaran dari hari pertama. Kalau pasaran naik lepas tu, anda untung lebih. Kalau jatuh esoknya, anda rasa sakit yang penuh.
  • Sikit-sikit (DCA, dollar cost averaging) bermaksud anda labur jumlah tetap setiap bulan, tak kira harga. Bila harga turun, duit yang sama dapat lebih banyak unit. Bila harga naik, dapat kurang. Lama-lama, harga purata anda jadi sederhana.

DCA paling sesuai untuk orang yang labur dari gaji setiap bulan, dan untuk orang yang takut tersalah masa. Untuk orang yang dah ada simpanan besar, ada yang masukkan sebahagian sekarang dan selebihnya beransur dalam beberapa bulan. Cara automatik untuk DCA dalam Moomoo ialah RSP, dan cara susun simpanan besar ada dalam simpanan RM10k hingga RM50k.

Bila masa sesuai beli? Patut tunggu harga turun?

Jawapan jujur: tiada siapa boleh teka masa pasaran dengan tepat secara konsisten, termasuk Daus. Orang yang tunggu “harga turun dulu” selalunya tengok harga terus naik, kemudian beli lebih mahal, atau tak beli langsung.

Sebab tu ramai pelabur jangka panjang tak cuba teka. Mereka beli ikut jadual, contohnya setiap bulan selepas gaji masuk, dan pegang bertahun-tahun. Yang penting bukan masa beli, tapi berapa lama anda pegang. Kalau anda tertarik nak keluar masuk ikut pergerakan harga harian, baca dulu trading atau labur lama, sebab statistik orang yang buat trading harian tak cantik.

Biar duit jadi tunai dulu, atau terus beli?

Ikut tujuan duit tu.

  • Duit jangka panjang yang dah ada rancangan: biar tunai terlalu lama pun ada kos, sebab duit tu tak kerja. Kalau anda dah tahu nak beli apa dan dah faham risikonya, ikut rancangan anda.
  • Belum pasti nak beli apa: tak salah biar tunai sementara anda belajar. Lebih baik tunggu sebulan dan faham, daripada beli hari ni sebab panik tertinggal.
  • Duit yang anda perlukan dalam 1 hingga 3 tahun: jangan masuk saham langsung. Baca duit jangka pendek.

Satu perkara untuk user baru yang dah claim reward: kupon tunai saham RM25 cuma jadi duit bila anda buat satu order beli sekurang-kurangnya RM200 dalam tempoh 90 hari kupon tu sah. Lepas order siap, RM25 dipulangkan sebagai tunai dalam 3 hari dagangan. Satu kupon untuk satu order, jadi dua kupon perlukan dua order. Butirannya ada dalam halaman reward.

Cara semak syarikat dah tersenarai atau belum (elak scam pre-IPO)

Kalau ada orang tawarkan anda saham “pre-IPO” melalui WhatsApp atau Telegram, dengan janji syarikat tu akan tersenarai tak lama lagi dan harga akan naik berganda, berhati-hati. Ini salah satu bentuk scam yang paling biasa.

Cara semak sendiri:

  1. Cari nama syarikat dalam Search Moomoo. Kalau syarikat tu dah tersenarai di Bursa atau pasaran lain yang Moomoo sokong, ia akan muncul dengan kod saham.
  2. Untuk IPO Bursa, buka Markets → MY dan tengok bahagian IPOs. Di situ ada tab Available (sedang dibuka untuk permohonan), To be Listed dan Listed. IPO Bursa yang sah dimohon melalui broker berlesen macam ni, bukan dengan pindah duit ke akaun peribadi seseorang.
  3. Kalau tak jumpa langsung, dan orang tu minta anda bayar terus kepadanya, berhenti. Semak lesen dia dalam senarai SC dulu.
  1. IPO Bursa
Markets → MY: bahagian IPOs tunjuk IPO Bursa yang sah.

Tanda-tanda scam lain dan cara semak lesen dalam dua minit ada dalam scam dan keselamatan pelabur. Cara mohon IPO Bursa yang betul ada dalam daftar CDS dan IPO.

Takut simpan lama sebab harga boleh jatuh

Perasaan ni normal, dan lebih baik anda fikir sekarang daripada masa pasaran tengah merah.

Ni contoh sebenar dari skrin Compare dalam Moomoo. Dalam 3 tahun lepas, ETF S&P 500 (VOO) pernah jatuh lebih kurang 17% dari puncaknya, dan ETF Syariah SPUS pernah jatuh lebih kurang 22%. Sejak dilancar, kejatuhan paling dalam SPUS sekitar 31%, masa Covid pada Mac 2020. Maksudnya, kalau anda labur RM10,000, ada masa baki anda akan nampak macam RM7,000 hingga RM8,000. Itu bukan tanda anda buat salah. Itu sebahagian dari harga untuk pulangan jangka panjang. Angka penuh ada dalam Compare saham & ETF.

Tiga benda yang buat kejatuhan ni lebih senang ditanggung:

  • Hanya labur duit yang anda tak perlukan untuk 5 tahun ke atas. Duit yang anda perlukan lebih awal letak di tempat yang stabil. Baca duit jangka pendek.
  • Pilih ETF yang luas, bukan satu saham. Satu syarikat boleh jatuh dan tak bangun langsung. ETF yang luas pegang ratusan syarikat, jadi satu syarikat gagal tak rosakkan seluruh pegangan anda.
  • Tulis sebab anda beli dalam lembaran kerja di atas. Bila pasaran jatuh, baca balik sebab tu sebelum tekan Sell.

Kalau anda lebih tertarik pada pelaburan yang bayar agihan tetap dari sewa, contohnya REIT, baca REIT dalam Moomoo.


Kesilapan biasa bila memilih

Pilih ikut prestasi tahun lepas. Saham atau ETF yang naik 80% tahun lepas selalunya dah mahal. Prestasi lepas bukan ramalan.

Pilih ikut siapa yang viral di TikTok. Kalau semua orang dah bercakap pasal satu saham, harga dah pun naik sebab ramai beli.

Beli terlalu banyak benda. Sepuluh ETF yang semuanya pegang syarikat yang sama bukan kepelbagaian. Itu satu pelaburan yang anda bayar yuran sepuluh kali.

Tukar pilihan setiap bulan. Setiap kali tukar, anda bayar yuran dan mungkin kunci kerugian. Pilihan yang biasa-biasa tapi dipegang 10 tahun biasanya mengalahkan pilihan hebat yang ditukar setiap bulan.


Ni perkongsian cara memilih dan contoh apa yang Daus sendiri buat, bukan nasihat kewangan dan bukan cadangan beli mana-mana sekuriti. Saham dan ETF boleh turun nilai, dan prestasi lepas tak menjamin prestasi akan datang. Keputusan akhir ialah milik anda, ikut keadaan diri anda sendiri.

Nak cuba pokok keputusan ni dalam app sendiri?

Bila dah ada RM1,000 sedia: daftar guna link Daus, masukkan kod DAUSDK37 dalam "Special Deposit" SEBELUM deposit pertama, deposit RM1,000 dalam 30 hari selepas daftar, tekan Claim sendiri, dan kekalkan deposit 60 hari. Lebih kurang RM150 untuk deposit RM1,000, sehingga RM1,500 untuk deposit lebih besar.

Daftar Moomoo & Claim Reward

Daus ialah Marketing Representative rasmi Moomoo Malaysia dan dapat komisen bila anda daftar & deposit. Tiada kos tambahan pada anda.

Tanya Daus