Cara beli emas dalam Moomoo
Empat cara dapat pendedahan kepada emas dalam Moomoo — ETF emas US, ETF emas Bursa 0828EA, dana unit trust emas Syariah dalam ringgit, dan kenapa saham syarikat lombong bukan emas. Termasuk modal kecil, yuran, dan soalan halal.
🎬 Tonton video penuh
Video: Cara Beli Emas Moomoo — dari channel YouTube DausDK. Klik untuk main terus di sini.
📖 Atau baca step-by-step
Emas ada tempat istimewa dalam budaya kita. Ramai orang Malaysia beli emas fizikal, contohnya barang kemas, jongkong atau syiling, sebagai simpanan nilai.
Masalah dengan emas fizikal biasanya sama: di mana nak simpan, macam mana nak pastikan tulen, dan berapa besar jurang antara harga beli dengan harga jual balik.
Melabur emas melalui platform macam Moomoo selesaikan sebahagian masalah tu. Tapi itu bukan benda yang sama dengan pegang emas dalam tangan, jadi anda kena faham bezanya dulu.
Tak suka baca? Tengok video pendek ni
Cara akses emas dalam Moomoo
Ada empat jalan, dan empat-empat ni bukan produk yang sama:
| Jalan | Contoh | Mata wang | Status Syariah |
|---|---|---|---|
| ETF emas Amerika | GLD, GLDM | USD (beli guna ringgit, Moomoo tukar sendiri) | Tiada sijil Syariah rasmi dijumpai |
| ETF emas Bursa | 0828EA TradePlus Shariah Gold Tracker | Ringgit | Ada penasihat Syariah |
| Dana unit trust emas | AHAM Shariah Gold Tracker (dalam MYR Funds) | Ringgit | Dana patuh Syariah |
| Saham syarikat lombong emas | Barrick (kod B), GoldMining | Ikut bursa | Ini bukan emas |
ETF emas ialah dana yang diniagakan di bursa dan jejak harga emas. GLD contohnya pegang jongkong emas fizikal yang disimpan oleh bank penjaga. Anda beli macam beli saham biasa.
Dana unit trust emas dibeli dan dijual ikut harga NAV sekali sehari, bukan macam saham. Bahagian emas dalam ringgit di bawah terang dua jalan ringgit ni.
Saham syarikat lombong ialah saham syarikat yang gali emas. Harganya dipengaruhi harga emas, tapi juga oleh pengurusan syarikat, kos operasi dan hutang. Jadi ia boleh bergerak jauh berbeza daripada emas.
Beli saham syarikat lombong emas sebab sangka ia sama dengan beli emas. Bila harga emas naik 10%, saham lombong boleh naik 30%, atau turun, kalau syarikat tu ada masalah sendiri. Tahu dulu yang mana satu anda beli.
Kod saham cuma singkatan, dan ia boleh bertukar. Contohnya, syarikat lombong Barrick dulu guna kod “GOLD” di bursa New York. Sejak 9 Mei 2025, Barrick diniagakan dengan kod B. Jadi jangan pilih ikut kod. Sentiasa baca nama penuh produk tu, dan semak sama ada ia ada tab Fund (dana) atau tab Company (syarikat).
Bukti bergambar: kenapa ini penting
Daus sengaja buka dua produk yang berkod sama untuk tunjuk akibatnya. Dua-dua screenshot di bawah berkod GLD. Satu ETF emas, satu lagi syarikat perlombongan. Tengok cartanya.
- ETF emas fizikal
- 12.00 turun ke 0.055
Screenshot kanan tu ialah Gold Finder Resources Ltd, sebuah syarikat perlombongan yang tersenarai di Kanada. Baca carta bulanannya:
- Sekitar tahun 2002, harganya 12.000
- Hari ini, harganya 0.055
Itu kejatuhan lebih 99% dalam tempoh lebih 20 tahun. Dalam tempoh yang sama, harga emas naik berkali ganda.
Jadi orang yang beli syarikat ni sebab dia “yakin pada emas” memang betul pasal emas, tapi dia tetap hilang hampir semua modalnya. Syarikat boleh gagal. Logam tak.
Buka halaman produk dan tengok baris tab di bawah harga:
- ETF ada tab Fund. Di situ ada butiran dana, expense ratio, dan apa yang dana tu pegang.
- Saham syarikat ada tab Company. Di situ ada penyata kewangan, pengurusan dan perniagaan.
Kalau anda nampak tab Company dan bukan Fund, anda sedang tengok sebuah syarikat, bukan dana yang pegang emas.
Emas dalam Moomoo ni halal ke?
Jawapan pendek: yang ada penasihat Syariah ialah 0828EA dan dana AHAM Shariah Gold Tracker. Untuk ETF emas Amerika macam GLD, GLDM dan IAU, Daus tak jumpa sijil Syariah rasmi.
Daus bukan ustaz dan bukan penasihat Syariah, jadi ni apa yang Daus jumpa dalam dokumen rasmi:
- Piawaian Syariah AAOIFI No. 57 (Emas dan kawalan dagangannya), dilancarkan bersama World Gold Council pada 2016, kata pelaburan emas dibenarkan dengan syarat semua hukum Syariah yang berkaitan dipenuhi, termasuk soal pemilikan emas (taking possession) dan cara kira zakat.
- 0828EA TradePlus Shariah Gold Tracker ada penasihat Syariah (Amanie Advisors). Penerbitnya tulis sekurang-kurangnya 95% aset dana dipegang dalam emas fizikal dari kilang penapis bertauliah LBMA, disimpan dalam bilik kebal di Singapura.
- AHAM Shariah Gold Tracker Fund ialah dana patuh Syariah di bawah AIIMAN, cabang Islamik AHAM. Ia dana feeder, iaitu sekurang-kurangnya 90% nilainya dilabur dalam 0828EA tadi.
- GLD memang pegang jongkong emas fizikal yang disimpan oleh bank penjaga. Tapi Daus tak jumpa fatwa atau sijil Syariah rasmi untuk GLD, GLDM atau IAU.
Struktur ETF emas fizikal mungkin selari dengan syarat AAOIFI 57, tapi tanpa sijil rasmi, Daus tak boleh kata ia patuh Syariah. Kalau anda nak ikut saringan Syariah dengan ketat, dua jalan ringgit (0828EA dan dana AHAM) lebih jelas statusnya. Untuk keputusan muktamad, tanya penasihat Syariah yang anda percaya. Penerangan penuh pasal saham dan riba ada dalam saham halal ke?
Langkah-langkah: beli ETF emas Amerika
Cari dalam app — dan baca setiap hasil dengan teliti
Guna carian dan taip GLD (kod ETF emas yang paling biasa). Sekarang tengok hasil dalam screenshot sebelah, sebab lapan hasil tu bukan lapan cara beli emas.
Ada sekurang-kurangnya empat jenis dalam senarai tu:
ETF yang pegang emas fizikal, iaitu yang paling dekat dengan “beli emas”:
- GLD (US) SPDR Gold ETF — yang paling besar dan paling aktif diniagakan
- GLDM (US) SPDR Gold MiniShares — yuran lebih rendah dan unit lebih kecil, jadi harga seunit lebih rendah daripada GLD
- GLDN (AU) iShares Physical Gold ETF — disenaraikan di Australia
Kaunter GLD di bursa Singapura:
- GSD (GLD SG$) dan O87 (GLD US$) bertanda SG. Dua baris ni GLD yang diniagakan di Singapura, satu dalam dolar Singapura dan satu dalam dolar Amerika. Untuk tutorial ni, guna baris GLD bertanda US.
Saham syarikat perlombongan, iaitu bukan emas:
- GLD (CA) Gold Finder Resources Ltd — sebuah syarikat
- GLDG (US) GoldMining — juga sebuah syarikat
Lain-lain — 002410 Glodon ialah syarikat perisian China yang kebetulan padan dengan carian.
Perhatikan baris pertama dan ketiga: dua-dua berkod “GLD”, tapi satu ETF emas Amerika dan satu lagi syarikat lombong Kanada. Lencana bendera kecil di sebelah kiri (US, CA, SG, AU) ialah pembezanya.
- ETF emas (US)
- Ini SYARIKAT, bukan emas
- SG = kaunter di Singapura
Semak halaman produk sebelum beli
Buka halaman produk dan semak lima perkara. Screenshot sebelah ialah halaman GLD sebenar.
1. Nama penuh — GLD SPDR Gold ETF. Ia tertulis Gold ETF, bukan nama sebuah syarikat.
2. Baris XAU/USD — ini yang paling berguna dan paling ramai terlepas pandang. XAU/USD ialah harga emas spot sebenar di pasaran antarabangsa. Ia dipaparkan tepat di bawah harga ETF supaya anda boleh banding, adakah ETF ni bergerak seiring dengan emas sebenar? Untuk ETF emas fizikal, jawapannya sepatutnya ya, hampir sentiasa.
3. Post-Mkt — harga dalam sesi selepas pasaran tutup. Ia berbeza daripada harga penutup rasmi, dan biasanya berdasarkan dagangan yang jauh lebih kecil.
4. Tab Fund — di situ ada butiran dana termasuk expense ratio, saiz dana, dan apa sebenarnya yang dana tu pegang. Baca sekali sebelum beli.
5. Volume — produk yang aktif diniagakan lebih senang dibeli dan dijual pada harga yang wajar.
ETF emas US diniagakan dalam USD, tapi anda beli terus guna ringgit. Moomoo guna ringgit anda dan tukar sendiri.
- Nama penuh: Gold ETF
- XAU/USD = harga emas spot
- Tab Fund = butiran dana
Ikut peraturan FEP Bank Negara (cara Moomoo melaksanakannya), ringgit hanya boleh ditukar ke mata wang asing selepas order beli dalam mata wang tu siap (filled). Sebab tu skrin Exchange tunjuk Exchangeable Amount 0.00 MYR walaupun ada ringgit. Beli terus saham US guna ringgit; Moomoo tukar sendiri masa settlement. Tukar USD balik ke MYR boleh (Accounts → Exchange).
Buat order
Lepas tu prosesnya sama macam beli saham biasa: tekan Trade, pilih Limit sebagai jenis order, letak harga, masukkan kuantiti atau jumlah, dan hantar.
Sebab ETF emas US diniagakan di pasaran Amerika, ingat juga medan Session dan Time-in-Force. Untuk permulaan, pilih Regular Trading Hours dan Day.
Sebelum tekan Buy, tengok angka Max Qty to Buy (Cash). Kalau kuantiti anda lebih besar dari angka tu, bakinya jadi pinjaman.
Penerangan penuh setiap medan ada dalam tutorial beli saham pertama, jenis order dan tutorial pasaran US.
Margin hidup secara default. Kalau order lebih mahal dari tunai anda, Moomoo tampung bakinya dengan pinjaman ringgit pada kadar 6.8% setahun. Sebelum tekan Buy, semak Max Qty to Buy (Cash) — itu tunai sahaja. Max Qty to Buy tanpa "Cash" termasuk pinjaman. Cara semak dan tutup: margin dalam Moomoo.
Modal kecil? GLD seunit lebih mahal dari RM1,000
Ini soalan yang paling kerap masuk. Dalam screenshot tadi, satu unit GLD berharga USD398.77. Ikut kadar rujukan dalam app (USD1 lebih kurang RM4.11), itu sekitar RM1,640 seunit. Jadi kalau deposit anda RM1,000, anda tak cukup untuk satu unit penuh.
Ada dua cara keluar dari masalah ni.
Cara pertama: beli ikut Amount (fractional). Kalau ETF tu layak untuk fractional, skrin order bagi anda tukar dari Quantity ke Amount. Lepas tu anda taip jumlah duit, dan Moomoo kira sendiri berapa bahagian unit yang anda dapat. Kalau pilihan Amount tak muncul untuk produk tu, maksudnya ia tak layak fractional, dan anda kena beli ikut unit penuh. Langkah penuh dengan screenshot ada dalam beli ETF US pertama.
- Minimum USD5 setiap order (RSP minimum USD1).
- Hanya masa pasaran US biasa, dan hanya order Day. Waktu Malaysia: sampai 31 Okt 2026, 9:30 malam – 4 pagi; mulai 2 Nov 2026, 10:30 malam – 5 pagi.
- Sabtu malam dan Ahad malam tutup. Jumaat malam masih buka. Pasaran buka semula Isnin malam.
- Nak jual, tukar ke Shares (bilangan unit, boleh perpuluhan). Amount hanya untuk beli.
Cara kedua: pilih produk yang harga seunitnya lebih rendah. GLDM pegang emas fizikal macam GLD, tapi unitnya lebih kecil, jadi harga seunit jauh lebih rendah. Semak harga semasa dalam app. Ini bukan cadangan beli GLDM. Daus cuma tunjuk yang pilihan tu wujud. Jalan ringgit di bawah (0828EA dan dana AHAM) pun boleh dimulakan dengan jumlah yang lebih kecil.
Satu lagi benda yang ramai tak kira ialah yuran. Untuk order kecil, yuran makan peratus yang besar:
Order bawah 1 unit (fractional, termasuk kebanyakan belian RSP kecil): platform fee 0.99% daripada nilai order, maksimum USD0.99, tanpa komisen. Order 1 unit ke atas: platform fee USD0.99 setiap order (komisen 0.03% ditanggung voucher 0 komisen user baru). Setiap order juga kena duti setem Malaysia RM1 bagi setiap RM1,000 atau sebahagiannya (lebih kurang USD0.24).
Contoh sebenar dari akaun Daus: belian VOO USD25 kena platform fee USD0.25 + duti setem USD0.24 = USD0.49 (lebih kurang 2%). Jadual penuh: yuran Moomoo.
Belian kecil macam ni ialah saiz order dalam akaun yang dah ada deposit. Untuk buka akaun pula, Daus cadang sediakan RM1,000 dulu. Sebabnya ada dalam modal kecil, nak mula dengan berapa.
Nak emas dalam ringgit? Dua jalan yang ada penasihat Syariah
Kalau anda tak nak urusan dolar, waktu pasaran US, atau soal status Syariah GLD, ada dua jalan dalam ringgit. Dua-dua akhirnya berkait dengan emas fizikal yang sama.
Jalan 1: ETF emas Bursa — 0828EA
0828EA TradePlus Shariah Gold Tracker ialah ETF yang tersenarai di Bursa Malaysia. Anda beli macam beli saham Bursa biasa, dalam waktu pasaran Malaysia.
- Cari: taip
0828EAdalam Search, atau buka Markets → MY → ETFs. - Lot: saham Bursa diniagakan ikut lot 100 unit. Pada 28 Sep 2026, satu unit sekitar RM5.20, jadi satu lot sekitar RM520. Odd lot (bawah 100 unit) pun boleh, tapi lebih perlahan untuk padan.
- Yuran: platform fee RM3 setiap order, ditambah caj kecil lain. ETF Bursa dikecualikan duti setem sehingga 31 Dis 2028. Senarai penuh ada dalam yuran Moomoo.
- Guna Limit order. 0828EA antara ETF Bursa yang paling aktif, tapi dagangannya tetap jauh lebih nipis daripada GLD.
- Volume hari tu
Jalan 2: dana unit trust — AHAM Shariah Gold Tracker
Dana ni ada dalam bahagian MYR Funds Moomoo. Ia bukan saham, jadi tiada lot dan tiada waktu pasaran. Anda beli ikut jumlah ringgit, dan harga dikira ikut NAV hari tu.
- Cari: taip nama dana dalam Search. Carian Moomoo memang papar dana unit trust (contohnya cari “MAYBANK” pun keluar dana Maybank). Buka halaman dana, kemudian tekan butang beli.
- Caj: dalam akaun Daus, caj langganan dan caj jual dua-dua 0.00%. Yuran pengurusan 0.5% setahun dah ditolak dalam NAV.
- Bila nak jual: tekan Redeem, dan duit masuk akaun Moomoo dalam lebih kurang T+4 (empat hari dagangan dana). Langkah penuh dengan screenshot ada dalam cara jual unit trust.
Daus belum snap skrin langganan dana ni dari akaun baru, jadi semak sendiri minimum langganan yang tertera dalam halaman dana tu.
Mana satu?
| 0828EA (ETF Bursa) | Dana AHAM Shariah Gold Tracker | |
|---|---|---|
| Cara beli | Macam saham Bursa, ikut lot | Ikut jumlah ringgit, harga NAV |
| Bila boleh beli | Waktu pasaran Bursa | Bila-bila, ikut cut-off dana |
| Yuran utama | Platform fee RM3 setiap order | Caj langganan 0.00% (akaun Daus); yuran pengurusan dalam NAV |
| Jual | Jual macam saham, duit tunggu T+2 | Redeem, duit masuk lebih kurang T+4 |
| Risiko utama | Harga emas + dagangan nipis | Harga emas |
Dua-dua tetap ikut harga emas, jadi dua-dua boleh turun. Patuh Syariah bukan bermaksud harga stabil.
Emas kertas vs emas fizikal — beza sebenar
Yang anda dapat bila beli melalui platform:
- Tak perlu risau penyimpanan atau keselamatan
- Tak perlu risau ketulenan
- Boleh jual dengan cepat pada harga pasaran
- Boleh beli ikut jumlah kecil dalam akaun yang dah ada deposit, tapi yuran setiap order makan peratus yang besar bila order kecil
- Jurang beli-jual jauh lebih ketat berbanding kedai emas
Yang anda tak dapat:
- Anda tak pegang logam fizikal. Anda pegang instrumen kewangan yang nilainya dikaitkan dengan emas.
- Anda bergantung pada platform, dana dan sistem kewangan untuk terus berfungsi. Sebahagian orang beli emas fizikal sebab nak lindung nilai kalau sistem tu gagal. Emas kertas tak bagi perlindungan tu.
- Tiada kegunaan sebagai barang kemas atau barang pusaka keluarga.
- Emas melalui platform pun tak dilindungi PIDM. PIDM cuma lindungi deposit bank.
Dua-dua ada tempat masing-masing. Yang penting anda tahu mana satu anda beli dan kenapa.
Perkara jujur tentang emas sebagai pelaburan
Ini bahagian yang jarang disebut dalam content yang promote emas:
Emas tak hasilkan apa-apa. Saham boleh bayar dividen. Bon bayar faedah. Emas duduk diam. Satu-satunya cara ia bagi anda pulangan ialah kalau orang lain sanggup bayar lebih tinggi daripada harga yang anda bayar.
Ia boleh mendatar untuk tempoh yang lama. Dalam sejarah, ada tempoh bertahun-tahun yang harga emas tak ke mana-mana atau jatuh. Ia bukan naik sehala.
Peranan biasanya kepelbagaian, bukan pertumbuhan. Sesetengah pelabur pegang sebahagian kecil dalam emas sebagai penampan bila aset lain bergolak. Itu peranan yang lain daripada kejar pulangan tinggi.
Kalau anda tertarik pada emas sebab nampak harga naik tahun ni, itu kejar prestasi lepas, dan tabiat tu jarang berakhir baik. Kalau anda tertarik sebab nak sebahagian kecil portfolio dalam sesuatu yang tak bergerak seiring dengan saham, itu sebab yang lebih kukuh.
Sebelum anda beli
Tanya diri: berapa peratus daripada jumlah pelaburan aku patut ada dalam emas?
Kalau jawapan anda “tak tahu”, itu tanda untuk baca lagi sebelum beli. Tiada nombor ajaib yang betul untuk semua orang. Tapi kalau sebahagian besar simpanan anda masuk dalam satu komoditi, itu tumpuan risiko, bukan kepelbagaian. Cara susun pegangan ada dalam urus portfolio.
Daus sendiri ada pegang emas, tapi melalui platform lain, bukan dalam Moomoo. Halaman ni perkongsian pendidikan, bukan nasihat pelaburan dan bukan cadangan beli mana-mana produk. Keputusan dan risikonya milik anda.
Belum ada akaun Moomoo?
Bila dah ada RM1,000 sedia: daftar guna link Daus, masukkan kod DAUSDK37 dalam "Special Deposit" SEBELUM deposit pertama, deposit RM1,000 dalam 30 hari selepas daftar, tekan Claim sendiri, dan kekalkan deposit 60 hari. Lebih kurang RM150 untuk deposit RM1,000, sehingga RM1,500 untuk deposit lebih besar.
Daftar Moomoo & Claim RewardDaus ialah Marketing Representative rasmi Moomoo Malaysia dan dapat komisen bila anda daftar & deposit. Tiada kos tambahan pada anda.