Urus portfolio — berapa ETF cukup, bahaya tertumpu, duit menunggu, dan imbang semula setahun sekali
Bila pegangan dah lebih dari satu, soalan berubah dari "nak beli apa" kepada "semua ni seimbang ke?". Halaman ni terang kenapa lebih banyak ETF tak semestinya lebih selamat, bahaya beli banyak saham dari satu sektor, contoh pecahan ikut matlamat, di mana letak duit yang menunggu, cara susun simpanan luar Moomoo (contohnya Versa Cash-i) dengan ETF dalam Moomoo, dan cara imbang semula setahun sekali.
Ada seorang dalam DM Daus yang beli enam saham sekali gus. Dia rasa dah buat kepelbagaian, sebab enam tu nampak banyak. Tapi keenam-enam saham tu syarikat semikonduktor, iaitu syarikat yang buat atau berkait dengan cip komputer.
Bila sektor cip jatuh, keenam-enam jatuh sama-sama. Dia bukan pegang enam pelaburan. Dia pegang satu pelaburan yang dipecah jadi enam.
Halaman ni untuk anda yang dah ada lebih dari satu pegangan, dan mula tertanya: semua ni seimbang ke? Daus terang tujuh benda: berapa ETF sebenarnya cukup, bahaya tertumpu, pecahan ikut matlamat, duit yang menunggu, cara susun simpanan luar Moomoo dengan ETF dalam Moomoo, cukai dividen, dan cara imbang semula.
Semua nombor dan pecahan dalam halaman ni ialah contoh untuk faham konsep, bukan cadangan untuk anda. Pecahan yang sesuai bergantung pada umur, pendapatan, matlamat dan tahan risiko anda sendiri.
Tak suka baca? Tengok video pendek ni
Bahagian 1 — Berapa ETF sebenarnya cukup?
Jawapan ringkas: untuk kebanyakan beginner, satu hingga tiga.
Satu ETF (Exchange Traded Fund)Dana yang pegang banyak saham sekali gus, dan diniagakan macam saham biasa.Lihat dalam glosari → indeks yang luas dah pegang ratusan syarikat. ETF yang jejak S&P 500 contohnya, pegang 500 syarikat terbesar Amerika dalam satu belian. Tambah ETF kedua hanya berguna kalau isinya berbeza.
Masalahnya, ramai beli ETF kedua dan ketiga yang isinya hampir sama. Tengok screenshot di bawah. Empat ETF berbeza, dari empat syarikat pengurusan berbeza, tapi tiga syarikat teratas dalam keempat-empatnya sama.
- Syarikat sama
Kalau anda beli keempat-empat ETF ni, anda tak dapat kepelbagaian tambahan. Anda cuma bayar yuran empat kali untuk pegangan yang hampir sama.
Cara semak sama ada ETF anda bertindih
Guna fungsi Compare dalam Moomoo. Letak ETF yang anda pegang sebelah-menyebelah, dan tengok bahagian Top 10 Holdings dan Top 5 Industries. Kalau nama yang sama muncul di atas dalam setiap ETF, ia bertindih. Langkah penuh ada dalam tutorial Compare.
ETF yang biasanya menambah kepelbagaian ialah ETF yang pegang benda berbeza, contohnya pasaran luar Amerika, syarikat kecil, atau kelas aset lain macam emas.
Bahagian 2 — Bahaya tertumpu pada satu sektor
Balik kepada kes enam saham cip tadi. Kenapa ia berbahaya?
Syarikat dalam sektor yang sama dipengaruhi oleh berita yang sama. Kalau permintaan cip menurun, atau ada sekatan eksport, atau kitaran industri berubah, hampir semua syarikat dalam sektor tu terkesan serentak. Anda boleh nampak benda ni sendiri dalam Heat Map: saham dalam satu blok sektor selalunya bergerak ke arah yang sama pada hari yang sama.
Had kasar yang ramai pelabur guna
Tiada peraturan rasmi, tapi ramai pelabur guna had kasar macam ni untuk elak tertumpu:
- Satu saham individu tak melebihi lebih kurang 5% hingga 10% daripada seluruh portfolio.
- Satu sektor tak melebihi lebih kurang 25% hingga 30%.
- Saham individu keseluruhannya cuma bahagian kecil, dan bahagian besar dalam ETF yang luas.
Had ni bukan hukum. Tapi kalau satu saham dah jadi separuh portfolio anda, itu tanda anda perlu fikir semula.
ETF S&P 500 pun sekarang tertumpu pada teknologi, sebab syarikat teknologi dah jadi syarikat paling besar di Amerika. ETF Syariah lebih tertumpu lagi, sebab bank dan insurans konvensional dikeluarkan. Ini bukan sebab untuk elak ETF tu, tapi sebab untuk faham apa yang anda pegang.
Bahagian 3 — Pecahan ikut matlamat (contoh, bukan nasihat)
Portfolio yang baik bukan satu pecahan yang sama untuk semua orang. Ia ikut bila anda perlukan duit tu.
Cara paling mudah ialah asingkan duit anda ikut matlamat, dan setiap matlamat ada pecahan sendiri:
| Matlamat | Bila perlukan duit | Contoh pecahan (untuk faham konsep) |
|---|---|---|
| Dana kecemasan | Bila-bila masa | Tiada dalam saham. Simpanan atau dana pasaran wang sahaja |
| Deposit rumah, kereta, kahwin | 3 hingga 5 tahun | Bahagian kecil dalam ETF yang luas, bakinya di tempat stabil |
| Pendidikan anak | 10 tahun ke atas | Bahagian besar dalam ETF, dan dikurangkan bila tarikh makin dekat |
| Bersara | 20 tahun ke atas | Bahagian besar dalam ETF saham yang luas |
Perhatikan satu corak: makin jauh tarikh anda perlukan duit, makin besar bahagian saham boleh jadi. Sebabnya duit jangka panjang ada masa untuk pulih dari kejatuhan. Duit jangka pendek tak ada masa tu.
Sebagai contoh apa yang Daus sendiri buat: duit yang Daus mungkin perlukan dalam masa terdekat tak masuk saham langsung. Ia duduk dalam simpanan harga tetap. Pelaburan saham Daus pula untuk jangka panjang, dan bahagian terbesarnya dalam ETF indeks yang luas.
Bahagian 4 — Duit yang menunggu untuk dilabur
Ada masa anda ada tunai dalam akaun yang belum dilaburkan. Mungkin anda tengah kumpul untuk belian bulan depan, atau baru jual sesuatu.
Duit ni boleh duduk dalam Cash Plus, dana pasaran wang dalam Moomoo yang beri pulangan harian kecil. Ia lebih baik daripada biar duit tidur tanpa pulangan langsung.
Tapi ada dua perkara penting. Pertama, tanpa margin, Cash Plus tak dikira sebagai buying power selagi belum di-redeem. Jadi tekan Redeem dulu. Ikut Trading Rules dalam app, jumlah yang di-redeem terus boleh dipakai untuk beli saham tanpa faedah pembiayaan, tapi untuk withdraw ke bank anda kena tunggu duit masuk (T+1). Cash Plus jadi buying power tanpa redeem hanya kalau margin dan SmartSave-Sell dua-dua hidup, dan itu boleh kena faedah dalam sesetengah kes. Jadi jangan hidupkan margin semata-mata untuk ni. Kedua, kalau fungsi SmartSave aktif, duit ringgit yang baru anda deposit pun akan masuk Cash Plus secara automatik keesokan paginya. Jadi kalau duit tu untuk RSP minggu depan, biar ia kekal sebagai tunai biasa.
Penerangan penuh ada dalam tutorial Cash Plus.
Bahagian 5 — Simpanan luar Moomoo (Versa Cash-i) dan ETF dalam Moomoo: macam mana susun
Ramai yang DM Daus ada dua tempat sekali gus: simpanan dalam app lain, contohnya Versa Cash-i, dan ETF dalam Moomoo. Soalannya: “Duit mana patut duduk mana?”
Jawapan pendek: asingkan ikut bila anda perlukan duit tu, bukan ikut app. Duit yang mungkin anda perlukan dalam masa terdekat duduk di tempat yang harganya stabil dan senang keluar. Duit jangka panjang baru masuk ETF.
| Duit untuk apa | Bila perlukan | Contoh tempat |
|---|---|---|
| Dana kecemasan | Bila-bila masa | Simpanan bank, atau dana pasaran wang macam Versa Cash-i |
| Belanja besar yang dah dirancang | 1 hingga 3 tahun | Tempat yang harganya stabil, bukan saham |
| Bersara, pendidikan anak | 5 tahun ke atas | ETF indeks yang luas dalam Moomoo |
Kenapa asingkan duit jangka pendek di luar Moomoo boleh membantu?
- Kurang godaan. Bila duit kecemasan duduk sebelah butang Buy, senang sangat nak “masuk sikit” masa pasaran jatuh. Lain app, lain niat.
- Cepat keluar bila perlu. Contohnya Versa Cash-i, kalau anda minta keluarkan sebelum 10 pagi hari bekerja, duit sampai bank hari yang sama. Dalam Moomoo pula, kalau anda kena jual saham dulu, duit jualan tunggu T+2 hari bekerja sebelum boleh withdraw.
- Harga saham tak tunggu kecemasan anda. Kalau kereta rosak masa pasaran tengah jatuh 20%, anda terpaksa jual rugi. Duit kecemasan di tempat stabil elak benda ni.
Satu benda yang ramai lupa: dana pasaran wang macam Versa Cash-i pun bukan deposit bank, jadi tak dilindungi PIDM. Nilainya jauh lebih stabil daripada saham, tapi ia tetap pelaburan. Kalau anda nak perlindungan PIDM, tempatnya akaun simpanan atau FD bank.
Daus sendiri buat macam ni. Duit selamat Daus duduk dalam ASB dan Versa Cash-i, dan pelaburan jangka panjang dalam ETF. Jumlahnya ikut keadaan Daus, bukan cadangan untuk anda.
Bila kira pecahan portfolio, campur semua tempat. Kalau anda ada RM10,000 dalam Versa Cash-i dan RM10,000 dalam ETF Moomoo, pecahan sebenar anda 50% tunai dan 50% saham, walaupun app Moomoo tunjuk 100% saham. Penerangan penuh pasal duit yang anda perlukan dalam masa 1 hingga 3 tahun ada dalam duit jangka pendek, dan tentang Versa dalam versa.dausdk.com.
Bahagian 6 — Cukai dividen 30% dalam kira-kira portfolio
Kalau portfolio anda banyak dalam saham atau ETF US, ingat yang dividen dari US dipotong 30% di US sebelum sampai kepada anda. Ini cukai pegangan kerajaan US atas pelabur luar negara, bukan caj Moomoo.
Kesannya pada portfolio: kalau anda bandingkan dua ETF yang pulangannya hampir sama, ETF yang bayar dividen tinggi sebenarnya bagi anda kurang sedikit berbanding yang tertulis, sebab 30% dividennya dipotong. Untuk pelabur jangka panjang yang tak perlukan pendapatan sekarang, ini satu faktor kecil yang patut diambil kira.
Penerangan dividen yang lebih lengkap ada dalam lepas beli saham pertama.
Bahagian 7 — Semak dan imbang semula, setahun sekali
Lama-lama, pecahan portfolio anda akan lari dari sasaran. Bahagian yang naik banyak jadi lebih besar, dan bahagian yang lambat jadi lebih kecil.
Contohnya, anda mula dengan sasaran 80% ETF dan 20% saham individu. Setahun kemudian, saham individu tu naik banyak, dan sekarang pecahannya 65% ETF dan 35% saham individu. Portfolio anda sekarang lebih berisiko daripada yang anda rancang, walaupun anda tak buat apa-apa.
Imbang semula bermaksud bawa pecahan tu balik ke sasaran.
Cara tengok pecahan sekarang dalam app
- Buka tab Accounts → Assets → Securities. Angka Net Assets ialah jumlah semua saham, ETF dan tunai dalam akaun tu.
- Scroll ke bawah ke Positions. Lajur MV/Qty tunjuk Market Value (nilai semasa) setiap pegangan di baris atas, dan bilangan unit di baris bawah.
- Kira peratus setiap pegangan: Market Value pegangan tu ÷ Net Assets × 100. Contohnya, kalau satu ETF bernilai RM6,500 dan Net Assets RM10,000, ETF tu 65% daripada akaun.
- Ada simpanan atau pelaburan di tempat lain (contohnya ASB, Versa atau Tabung Haji)? Tambah dalam kira-kira anda sendiri, macam dalam Bahagian 5.
- Net Assets = jumlah akaun
- MV = nilai setiap pegangan
Penerangan setiap angka dalam skrin akaun ada dalam baca skrin akaun Moomoo.
Cara paling murah untuk imbang semula
Anda tak perlu jual. Cara yang lebih murah ialah halakan duit baru ke bahagian yang dah jadi kecil. Dalam contoh tadi, untuk beberapa bulan, masukkan semua duit bulanan ke dalam ETF sampai pecahan kembali hampir 80%. Anda elak yuran jual, dan tak kunci untung atau rugi.
Kalau pecahan dah lari terlalu jauh, barulah fikir untuk jual sebahagian dari bahagian yang terlalu besar. Ingat, duit jualan tu tak boleh terus beli benda lain:
Lepas jual, tunggu T+2 hari bekerja sebelum duit tu boleh guna untuk beli saham lain atau withdraw ke bank. Total Cash mungkin naik serta-merta, tapi Cash BP dan Withdrawable hanya naik lepas settlement. (Rasmi: Bursa settle T+2, saham US T+1 di Amerika; ikut beza waktu, duit jualan US biasanya sedia T+2 hari kita.)
Bila nak buat?
Setahun sekali dah cukup untuk kebanyakan orang. Pilih satu tarikh yang senang ingat, contohnya hari pertama Januari, atau hari jadi anda. Semak lebih kerap daripada tu biasanya cuma buat anda terlalu banyak bertindak.
Semakan tahunan portfolio saya
Jawapan anda tersimpan dalam browser ni sahaja. Tiada apa dihantar melainkan anda tekan Send dalam WhatsApp.
Ringkasan
- Satu hingga tiga ETF cukup untuk kebanyakan beginner. Lebih banyak tak semestinya lebih selamat kalau isinya bertindih.
- Semak pertindihan guna Compare → Top 10 Holdings.
- Enam saham dari satu sektor ialah satu pertaruhan, bukan enam.
- Pecahan ikut bila anda perlukan duit, bukan ikut apa yang orang lain buat.
- Duit menunggu boleh ke Cash Plus, tapi biar tunai biasa kalau untuk RSP.
- Duit kecemasan dan jangka pendek duduk di luar saham, dan kira pecahan dengan campur semua tempat.
- Setahun sekali, semak pecahan dan halakan duit baru ke bahagian yang kecil.
Ni perkongsian konsep dan contoh apa yang Daus sendiri buat, bukan nasihat kewangan. Pecahan yang sesuai untuk anda bergantung pada keadaan anda sendiri. Saham dan ETF boleh turun nilai, dan prestasi lepas tak menjamin prestasi akan datang.
Nak semak pegangan dalam app sendiri?
Bila dah ada RM1,000 sedia: daftar guna link Daus, masukkan kod DAUSDK37 dalam "Special Deposit" SEBELUM deposit pertama, deposit RM1,000 dalam 30 hari selepas daftar, tekan Claim sendiri, dan kekalkan deposit 60 hari. Lebih kurang RM150 untuk deposit RM1,000, sehingga RM1,500 untuk deposit lebih besar.
Daftar Moomoo & Claim RewardDaus ialah Marketing Representative rasmi Moomoo Malaysia dan dapat komisen bila anda daftar & deposit. Tiada kos tambahan pada anda.