Saham halal ke? Judi ke? Cara kekal patuh Syariah dalam Moomoo
Jawapan terus untuk soalan yang paling ramai orang tua tanya. Beza saham dengan judi, siapa yang tentukan saham patuh Syariah, kenapa ETF S&P 500 biasa tak patuh Syariah, SPUS vs HLAL, kenapa SPTE tiada logo Syariah dalam app, emas, bahagian dalam Moomoo yang ada unsur faedah (riba), dan senarai semak 6 perkara.
“Abah dengar saham ni judi. Betul ke?”
Soalan ni selalu datang dari orang yang paling berhati-hati dengan duit, dan itu bagus. Halaman ni jawab terus, dalam bahasa biasa. Tapi satu perkara Daus nak cakap awal: Daus bukan ustaz dan bukan penasihat Syariah. Apa yang Daus kongsi di sini ialah cara sistem di Malaysia berfungsi dan apa yang Daus sendiri buat. Untuk keputusan agama anda, rujuk ustaz atau penasihat Syariah yang anda percaya.
Tak suka baca? Tengok video pendek ni
Jawapan ringkas
- Saham bukan judi. Bila anda beli saham, anda jadi pemilik sebahagian kecil sebuah syarikat yang betul-betul wujud dan berniaga. Untung atau rugi anda ikut prestasi perniagaan tu, bukan ikut nasib.
- Tapi bukan semua saham patuh Syariah. Syarikat arak, judi, bank konvensional, atau syarikat yang terlalu banyak hutang berfaedah tak lulus saringan.
- Di Malaysia, yang tentukan ialah Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti (SC). Mereka terbitkan senarai saham Bursa yang patuh Syariah dua kali setahun.
- App Moomoo cuma alat. Soal halal lebih banyak bergantung pada apa yang anda beli dan cara anda guna akaun tu, bukan pada nama app.
- Ada tiga bahagian dalam app yang ada unsur faedah (riba) dan perlu anda elak kalau nak kekal patuh Syariah. Senarainya di bawah.
Kenapa saham tak sama dengan judi
Dalam judi, duit berpindah dari orang yang kalah kepada orang yang menang. Tiada apa-apa yang dihasilkan. Yang menentukan siapa menang ialah nasib.
Dalam saham, anda beli sebahagian kecil pemilikan syarikat. Syarikat tu jual barang, bayar gaji pekerja, buat untung, dan kadang-kadang bagi sebahagian untung tu kepada pemilik saham sebagai DividenSebahagian keuntungan syarikat yang diagihkan kepada pemegang saham.Lihat dalam glosari →. Nilai saham anda naik kalau perniagaan tu makin besar, dan turun kalau perniagaan tu makin teruk.
Jadi saham pada asasnya perkongsian dalam perniagaan. Tapi cara seseorang guna saham boleh jadi macam judi. Beli dan jual dalam masa beberapa minit ikut khabar angin, tanpa tahu pun syarikat tu buat apa, atau pinjam duit untuk bertaruh lebih besar, dari segi niat dan kelakuan dah dekat dengan judi. Kawan-kawan yang “hangus duit main saham” zaman dulu, kebanyakannya jatuh dalam perangkap ni, bukan sebab saham itu sendiri.
Kalau anda boleh terangkan dalam satu ayat syarikat tu buat duit macam mana, dan anda sanggup pegang bertahun-tahun, anda sedang melabur. Kalau anda beli sebab “orang cakap nak naik esok”, anda sedang meneka.
Siapa yang tentukan saham tu patuh Syariah
Di Malaysia, Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti saring semua syarikat yang tersenarai di Bursa. Saringan tu ada dua lapis:
- Aktiviti perniagaan. Syarikat yang pendapatan utamanya dari perkara yang tak dibenarkan, contohnya arak, judi, perbankan dan insurans konvensional, atau hiburan yang tak patuh, dikeluarkan.
- Kedudukan kewangan. Syarikat yang simpan terlalu banyak duit dalam akaun berfaedah, atau berhutang terlalu banyak dengan pinjaman berfaedah, juga dikeluarkan walaupun perniagaannya halal.
Hasilnya ialah Senarai Sekuriti Patuh Syariah, dikemas kini dua kali setahun, biasanya pada bulan Mei dan November. Status satu saham boleh berubah dalam setiap semakan. Cari “Senarai Sekuriti Patuh Syariah” di laman rasmi SC untuk senarai terkini.
Untuk saham dan ETF Amerika, SC tak menyaring. Yang menyaring ialah penyedia indeks atau lembaga Syariah ETF tu sendiri. Kaedah saringan mereka hampir sama, tapi tak semestinya sama 100% dengan SC. Kalau anda nak ikut standard Malaysia dengan ketat, tanya penasihat Syariah anda sama ada saringan tu diterima.
Kenapa ETF S&P 500 biasa (VOO, SPY, IVV) tak patuh Syariah?
Jawapan pendek: sebab ETF tu pegang kesemua 500 syarikat dalam indeks S&P 500 tanpa tapis apa-apa. Termasuklah bank konvensional dan syarikat insurans, dan syarikat yang hutangnya melebihi had Syariah.
ETF Syariah macam SPUS jejak versi S&P 500 yang dah ditapis. Prospektus SPUS senaraikan saringannya. Secara ringkas:
Saringan perniagaan. Syarikat dikeluarkan kalau lebih 5% daripada jumlah hasilnya datang dari aktiviti yang tak dibenarkan, antaranya:
- Kewangan konvensional (bank Islam, institusi kewangan Islam dan takaful dikecualikan)
- Arak, judi dan kasino
- Produk babi
- Tembakau
Saringan kewangan. Syarikat mesti lulus semua nisbah ni:
- Hutang kurang daripada 33.33% jumlah aset
- Tunai dan aset berfaedah kurang daripada 33.33% jumlah aset
- Akaun belum terima dan tunai kurang daripada 50% jumlah aset
- Pendapatan faedah dan pendapatan tak patuh kurang daripada 5% jumlah hasil
Jadi bila VOO pegang bank besar, syarikat insurans dan syarikat yang berhutang tinggi, VOO sebagai satu bakul gagal saringan ni. Tapi itu tak bermaksud setiap syarikat dalam VOO haram. Maksudnya, bakul tu tak ditapis.
Syarikat dalam indeks Syariah disemak semula secara berkala. Kaedah S&P sebut semakan dibuat setiap bulan. Jadi senarai pegangan ETF Syariah boleh berubah bila syarikat lulus atau gagal saringan.
SPUS atau HLAL — apa beza?
Dua-dua ETF Syariah yang pegang syarikat besar Amerika, tapi dari penerbit berbeza dan guna indeks berbeza. Ini perbandingan dalam skrin Compare Moomoo pada 6 Okt 2026. Ini bukan cadangan beli mana-mana satu, cuma cara baca beza dua ETF yang nampak sama.
| SPUS | HLAL | |
|---|---|---|
| Penerbit | SP Funds | Wahed Invest |
| Indeks | S&P 500 Shariah | FTSE Shariah USA |
| Siapa saring | Ratings Intelligence + lembaga Syariah 5 ulama | Yasaar + Lembaga Penyeliaan Syariah Wahed |
| Saiz dana (AUM) | 3.37B | 998.43M |
| Yuran tahunan (expense ratio) | 0.45% | 0.50% |
| Bilangan pegangan | 214 | 197 |
| Pulangan setahun, purata 3 tahun | +26.19% | +23.35% |
| Pulangan setahun, purata 5 tahun | +16.74% | +15.83% |
| Hasil dividen (TTM) | 0.50% | 0.35% |
| Kekerapan dividen | Setiap bulan | Setiap 3 bulan |
- Pulangan setahun (3Y, 5Y)
- Expense Ratio
- Kekerapan dividen
- Pegangan teratas
Apa yang Daus nampak dari skrin ni:
- Isinya hampir sama. Empat pegangan teratas dua-dua ETF ialah NVDA, AAPL, MSFT dan GOOGL, dengan peratus yang dekat. Jadi pegang dua-dua tak banyak tambah kepelbagaian.
- Beza utama ialah yuran, saiz dana, dan siapa yang saring. Prestasi lepas SPUS sedikit lebih tinggi dalam tempoh ni, tapi prestasi lepas tak menjamin masa depan.
- Dividen dua-dua kecil, dan dividen dari Amerika dipotong 30% sebelum sampai kepada anda.
- Angka dalam USD. Pulangan dalam ringgit berbeza ikut kadar tukaran.
Cara buat perbandingan ni sendiri ada dalam Compare saham & ETF. ETF Syariah lain (SPWO, SPTE, SPRE, ETF Bursa) ada dalam Dunia ETF.
Kenapa SPTE nama Syariah tapi tiada logo Syariah dalam app?
Ini soalan yang masuk bila orang perasan ikon bulan sabit hijau di sebelah nama sesetengah saham dan ETF. Ikon tu ialah label Syariah dalam Moomoo. SPUS ada ikon tu. SPTE, ETF teknologi Syariah dari penerbit yang sama (SP Funds), tiada ikon tu pada 6 Okt 2026.
- Label Syariah
- Tiada bulan sabit
Jawapan jujurnya, Moomoo tak terangkan secara terbuka dari mana senarai label Syariah tu datang, atau kenapa sesetengah ETF tiada label. Yang Daus tahu:
- Label tu bergantung pada senarai data Syariah broker tu sendiri. Tiada label dalam app tak semestinya bermaksud produk tu tak patuh. Ada label pun tak menggantikan semakan anda sendiri.
- Halaman kempen rasmi Moomoo Malaysia senaraikan SPUS, HLAL dan MNZL sebagai ETF indeks Syariah. SPTE tiada dalam senarai tu.
- Penerbit SPTE, SP Funds, tulis yang SPTE jejak indeks teknologi Syariah S&P dan ada sijil akreditasi Syariah ikut prinsip AAOIFI.
Jadi kalau ETF yang anda minat tiada label dalam app, buka laman rasmi atau prospektus penerbit ETF tu, baca siapa yang saring dan ikut standard apa, kemudian buat keputusan sendiri atau tanya penasihat Syariah anda.
Emas pula macam mana?
Emas ada syarat Syariah sendiri. Piawaian Syariah AAOIFI No. 57 kata pelaburan emas dibenarkan dengan syarat semua hukum yang berkaitan dipenuhi, termasuk soal pemilikan dan zakat.
Dalam Moomoo, dua pilihan emas yang ada penasihat Syariah ialah 0828EA TradePlus Shariah Gold Tracker (ETF Bursa) dan dana AHAM Shariah Gold Tracker (unit trust dalam MYR Funds). Untuk ETF emas Amerika macam GLD, GLDM dan IAU, Daus tak jumpa sijil Syariah rasmi. Penerangan penuh ada dalam cara beli emas.
Tiga bahagian dalam Moomoo yang ada unsur faedah
Ini bahagian yang jarang orang terangkan. Walaupun anda beli saham patuh Syariah, ada tiga benda dalam akaun yang boleh buat anda terlibat dengan faedah tanpa sedar:
1. Margin (beli guna duit pinjaman)
MarginMelabur guna duit yang dipinjam dari broker.Lihat dalam glosari → bermaksud broker pinjamkan duit supaya anda boleh beli lebih banyak. Pinjaman tu dikenakan faedah.
Yang ramai tak tahu: dalam Moomoo, margin hidup secara default. Kalau anda hantar order yang lebih mahal dari tunai anda, sistem tak tolak order tu. Bakinya ditampung dengan pinjaman ringgit secara automatik. Ini termasuk RSP yang berjalan sendiri bila tunai dah habis.
Dalam skrin order, ada dua angka:
- Max Qty to Buy (Cash) — berapa unit yang anda boleh beli guna tunai sendiri sahaja.
- Max Qty to Buy (tanpa perkataan “Cash”) — termasuk duit pinjaman.
Kalau nak kekal patuh Syariah, pastikan kuantiti anda tak melebihi Max Qty to Buy (Cash). Lebih selamat lagi, matikan margin terus. Caranya: langsaikan hutang dulu kalau ada, kemudian pergi ke Me → Settings → Accounts → tab Positions → Margin Settings. Langkah penuh dengan screenshot ada dalam margin dalam Moomoo.
Margin hidup secara default. Kalau order lebih mahal dari tunai anda, Moomoo tampung bakinya dengan pinjaman ringgit pada kadar 6.8% setahun. Sebelum tekan Buy, semak Max Qty to Buy (Cash) — itu tunai sahaja. Max Qty to Buy tanpa "Cash" termasuk pinjaman. Cara semak dan tutup: margin dalam Moomoo.
2. Duit tunai yang terbiar (Cash Plus)
Moomoo boleh salurkan baki tunai anda ke dalam dana pasaran wang supaya ia dapat pulangan harian. Dalam senarai Cash Plus ada dana konvensional, yang pulangannya datang dari instrumen berfaedah, dan ada dana Islamik, contohnya Eastspring Investments Islamic Income Fund. Kalau anda guna Cash Plus, pilih dana Islamik, dan semak butiran dana tu dalam app sebelum langgan.
Dua perkara lagi yang perlu anda tahu:
- SmartSave beli Cash Plus secara automatik setiap pagi hari bekerja guna baki tunai ringgit anda, termasuk duit yang baru deposit. Kalau anda hidupkan SmartSave, semak dana mana yang SmartSave beli.
- Cash Plus cuma jadi buying power kalau margin hidup (bersama SmartSave-Sell). Dan Moomoo sendiri tulis, dalam sesetengah kes faedah boleh dikenakan untuk satu hingga beberapa hari. Jadi jangan hidupkan margin semata-mata supaya Cash Plus boleh terus beli saham. Redeem dulu, tunggu duit jadi tunai, baru beli.
Langkah penuh ada dalam tutorial Cash Plus.
3. Produk berisiko tinggi: short selling, options, futures
Short sellingBertaruh harga akan jatuh, dengan menjual saham yang anda pinjam.Lihat dalam glosari → bermaksud jual saham yang anda belum miliki. Options dan futures pula kontrak atas pergerakan harga. Ramai penasihat Syariah tak benarkan produk ni, dan produk ni pun terlalu berisiko untuk beginner. Tinggalkan dulu. Kalau margin dimatikan, short selling, options dan futures memang tak boleh digunakan.
Penyucian dividen dan zakat — rujuk penasihat
Dua soalan ni selalu datang lepas orang dah mula labur:
- Penyucian dividen. Syarikat yang lulus saringan Syariah masih boleh ada sedikit pendapatan tak patuh (bawah had 5% tadi). Sebab tu ada pelabur yang sedekahkan sebahagian kecil dividen untuk “sucikan” bahagian tu. Berapa peratus, dan perlu ke tak, ikut panduan penasihat Syariah anda dan maklumat penerbit ETF tu.
- Zakat saham. Cara kira zakat atas saham dan ETF berbeza ikut niat (simpan lama atau berniaga) dan ikut negeri. Rujuk pusat zakat negeri anda atau penasihat Syariah.
Daus tak beri angka untuk dua-dua ni, sebab ini soal hukum, bukan soal app.
Senarai semak: 6 perkara untuk kekal patuh Syariah dalam Moomoo
- Saham Bursa: pastikan ia ada dalam Senarai Sekuriti Patuh Syariah SC terkini.
- Saham atau ETF Amerika: guna penapis Shariah: Compliant dalam Screener, atau pilih ETF yang jejak indeks Syariah. Contoh yang Daus sebut dalam laman ni ialah SPUS dan HLAL (syarikat besar Amerika yang ditapis) dan SPWO (syarikat patuh Syariah di luar Amerika). Ini contoh untuk anda kaji sendiri, bukan cadangan beli.
- Beli guna tunai sahaja. Pastikan kuantiti tak melebihi Max Qty to Buy (Cash), atau matikan margin terus.
- Cash Plus: pilih dana Islamik, atau jangan hidupkan langsung. Jangan hidupkan margin untuk guna Cash Plus sebagai buying power.
- Jangan sentuh short selling, options dan futures.
- Semak semula setiap Mei dan November. Kalau saham anda dikeluarkan dari senarai SC, ikut panduan penasihat Syariah anda pasal bila dan macam mana nak jual.
Cara guna penapis Syariah dalam Screener, dengan screenshot, ada dalam laluan Syariah di halaman pilih saham dan tutorial screener.
Status Syariah beritahu anda apa yang dipegang, bukan berapa selamat pelaburan tu. ETF Syariah tetap naik turun macam ETF biasa. Duit yang anda perlukan dalam masa kurang 3 tahun, contohnya yuran anak masuk universiti tahun depan, tak sesuai diletak dalam saham langsung, halal atau tak. Duit macam tu lebih sesuai di tempat yang harganya tetap dan senang dikeluarkan, contohnya akaun simpanan, deposit tetap Islamik, ASB atau Tabung Haji. Penerangan lanjut ada dalam duit jangka pendek.
Macam mana dengan ASB dan Tabung Haji?
Ramai yang tanya ni sebab dah ada ASB dan Tabung Haji. Moomoo bukan pengganti kepada dua-dua tu. Bezanya:
| ASB | Tabung Haji | Saham & ETF dalam Moomoo | |
|---|---|---|---|
| Harga | Harga unit tetap RM1 seunit | Tiada unit. Simpanan, baki tak turun ikut pasaran | Harga naik turun setiap hari |
| Pulangan | Agihan setahun sekali | Agihan setahun sekali | Ikut harga pasaran + dividen syarikat |
| Boleh rugi modal? | Harga unit tak jatuh | Baki simpanan tak jatuh ikut pasaran | Boleh, kadang-kadang banyak |
| Sesuai untuk | Simpanan dan duit yang anda perlukan tak lama lagi | Simpanan haji dan duit yang anda nak stabil | Duit lebihan yang boleh diam 5 tahun ke atas |
Ramai orang simpan kedua-dua jenis. ASB dan Tabung Haji untuk bahagian yang anda nak stabil, dan saham untuk bahagian jangka panjang yang anda sanggup tengok naik turun. Susunan dan peratusnya ikut keadaan anda sendiri. Ini bukan nasihat kewangan.
Umur 40-an atau 50-an, dah lambat ke?
Tak lambat, tapi caranya lain sikit. Soalan paling penting bukan umur anda, tapi bila anda perlukan duit tu. Duit untuk persaraan 10 hingga 15 tahun lagi masih ada masa untuk naik turun pasaran. Duit untuk yuran anak tahun depan tak ada masa tu. Jadi asingkan dulu duit ikut bila ia akan diguna, dan hanya bahagian jangka panjang sahaja yang masuk saham.
Kalau anda nak cuba tanpa guna duit langsung dulu, Moomoo ada akaun latihan (paper trading) dengan duit maya, dan laman ni ada simulator yang ajar anda tekan skrin app sebenar tanpa buka akaun.
Daus cadang buka akaun Moomoo bila dah ada RM1,000 sedia untuk deposit pertama. Reward new user bermula pada RM1,000, dan setiap order ada yuran tetap (RM3 untuk saham Bursa), jadi kalau modal kecil, peratus yang hilang jadi besar. Secara teknikal Moomoo tiada deposit minimum. Ini cadangan Daus.
Belum cukup RM1,000? Jangan daftar dulu, sebab jam 30 hari untuk reward mula berjalan hari anda daftar. Kumpul dulu dalam Versa Cash-i atau ShopeePay Money+, dan sementara tu belajar guna Paper Trading atau simulator. (Daus juga ada kod rujukan Versa dan Money+.)
Kalau anda dah selesa dengan jawapan di atas, baca Moomoo selamat ke? untuk soal lesen dan keselamatan duit, kemudian ikut laluan Mula Dari Zero langkah demi langkah.
Dah tahu cara kekal patuh Syariah? Jom buka akaun.
Bila dah ada RM1,000 sedia: daftar guna link Daus, masukkan kod DAUSDK37 dalam "Special Deposit" SEBELUM deposit pertama, deposit RM1,000 dalam 30 hari selepas daftar, tekan Claim sendiri, dan kekalkan deposit 60 hari. Lebih kurang RM150 untuk deposit RM1,000, sehingga RM1,500 untuk deposit lebih besar.
Daftar Moomoo & Claim RewardDaus ialah Marketing Representative rasmi Moomoo Malaysia dan dapat komisen bila anda daftar & deposit. Tiada kos tambahan pada anda.