Tutorial Cash Plus Moomoo — duit tidur pun boleh kerja
Apa itu Cash Plus dalam Moomoo, cara aktifkan, dan perkara penting yang anda kena faham sebelum letak duit di dalamnya.
Nak cuba tekan sendiri dulu?Simulator 4 tekanan guna skrin app sebenar. Salah pun tak apa, tiada duit bergerak.🎬 Tonton video penuh
Video: Tutorial Cash Plus Moomoo — dari channel YouTube DausDK. Klik untuk main terus di sini.
📖 Atau baca step-by-step
Ada satu keadaan yang berlaku pada hampir semua pelabur: duit dah masuk akaun, tapi anda belum putuskan nak beli apa. Jadi ia duduk diam sebagai tunai, tak buat apa-apa.
Cash Plus ni cara Moomoo supaya duit tu tak duduk diam sepenuhnya.
Tak suka baca? Tengok video pendek ni
Apa itu Cash Plus
Ringkasnya: baki tunai anda yang belum dilaburkan disalurkan ke dalam dana pasaran wang (money market fund) — sejenis dana yang melabur dalam instrumen jangka pendek berisiko rendah.
Sebagai balasan, anda berpotensi menerima pulangan harian ke atas duit yang sebelum ni tak menghasilkan apa-apa.
Dua ciri yang buat Cash Plus berguna:
- Duit masih boleh diakses — anda boleh guna untuk beli saham bila anda dah putuskan (tanpa margin, tekan Redeem dulu; ikut Trading Rules dalam app, jumlah yang di-redeem terus boleh dipakai untuk beli saham tanpa faedah, cuma withdraw ke bank kena tunggu T+1)
- Pulangan dikira harian — bukan terkunci untuk tempoh tetap macam simpanan tetap
Ini bahagian yang paling penting untuk anda faham. Dana pasaran wang ni produk pelaburan, bukan deposit bank. Dana ni tidak dilindungi oleh PIDM. Pulangan tidak dijamin dan boleh berubah. Walaupun dana jenis ni umumnya dianggap berisiko rendah, “risiko rendah” bukan bermaksud “tiada risiko” — nilai masih boleh turun.
Di mana Cash Plus berada dalam app
Ini bahagian yang mengelirukan ramai orang: Cash Plus tak ada ikon sendiri dalam menu utama app.
Ada dua jalan untuk sampai ke sana, dan kedua-duanya berguna untuk tujuan berbeza:
| Jalan | Untuk apa |
|---|---|
| Discover → Wealth | Melihat senarai dana dan kadar semasa, dan buka halaman setiap dana |
| Accounts → Funds → SmartSave | Menghidupkan aliran automatik supaya semua tunai terbiar masuk sendiri |
Kita pergi kedua-duanya.
Jalan pertama — lihat senarai dana dan kadar sebenar
Buka Discover → Wealth
Tekan tab Discover di bahagian bawah, kemudian Wealth.
Halaman Wealth ada beberapa bahagian: dana pilihan dengan pulangan setahun, dan di bawahnya bahagian Cash Plus dengan tulisan kecil “0 Fees. Flexible Redemption.”
Skrol ke bawah sampai anda jumpa bahagian Cash Plus tu.
Baca kadar 7D Yield — dan faham apa maksudnya
Inilah senarai dana Cash Plus sebenar dengan kadarnya. Dalam screenshot ni (diambil September 2026, kadar dah berubah sejak tu):
| Dana | 7D Yield |
|---|---|
| Maybank Retail Money Market-I Fund (MYR) | 3.1902% |
| United Money Market Fund-Class R (MYR) | 3.4663% |
| Eastspring Investments Islamic Income Fund-Class R (MYR) | 3.4866% |
| United USD Cash Fund-Class R (USD) | 3.6875% |
Apa itu 7D Yield? 7D Yield ialah pulangan yang dana tu hasilkan dalam tujuh hari terakhir, dinyatakan sebagai kadar tahunan. Ia bukan kadar tetap dan bukan janji.
Kalau kadar pasaran wang jatuh minggu depan, nombor tu jatuh sama. Kalau naik, ia naik.
Perhatikan juga ada pilihan patuh Syariah (Islamic Income Fund) dan pilihan USD. Dana USD tu hanya berguna kalau anda dah ada baki USD, contohnya dari duit jualan saham US atau dividen. Ringgit tak boleh ditukar ke USD semata-mata untuk masuk dana ni, sebab ringgit hanya boleh ditukar lepas order beli saham US siap. SmartSave pula hanya untuk ringgit.
- Dana MYR
- Dana USD
Tekan satu dana dan periksa sejarahnya
Ini langkah yang hampir semua orang langkau, dan ia yang paling banyak mengajar.
Tekan mana-mana dana, dan halaman butiran terbuka dengan:
- 7D Yield dan 1 Year Return di bahagian atas
- Carta 7d Yield — dan di sinilah pelajarannya
- Historical Returns — Last Day, Last Week, Last Month
- Subscription/Redemption Fees — dalam contoh ni 0.00%
Tengok carta tu dengan teliti. Kadar dana ni berayun antara kira-kira 3.00% dan 3.50% sepanjang setahun, dengan lonjakan dan penurunan hampir setiap minggu.
Itulah bukti paling jelas bahawa kadar yang anda nampak hari ni bukan kadar yang anda akan dapat setiap hari. Ia bergerak. Kalau anda masuk kerana nampak 3.49% dan bulan depan ia 3.05%, itu bukan sesuatu yang tak kena — itu memang cara produk ni berfungsi.
Perhatikan juga barisan Historical Returns: Last Day +0.01%. Itu realiti pulangan harian pada duit yang kecil. Cash Plus bukan mesin membuat duit; ia cara supaya tunai terbiar anda tak duduk pada sifar.
- Kadar kini
- Kadar TIDAK tetap
Halaman dana tu juga tempat anda melanggan dana secara manual. Nak tebus (redeem) balik, jalannya Accounts → Funds → tekan dana → Redeem, dan langkah penuh dengan screenshot ada dalam cara jual unit trust.
Jalan kedua — hidupkan aliran automatik (SmartSave)
Kalau anda tak nak melanggan dana secara manual setiap kali, ada cara automatik. Ia berada di bawah tab Funds dalam halaman Accounts, dan diaktifkan melalui satu ciri bernama SmartSave.
Buka tab Funds
Pergi ke tab Accounts. Di bawah nama akaun anda ada baris tab: Assets · Orders · History · Transfers.
Dalam Assets, ada dua butang kecil: Securities dan Funds. Tekan Funds.
Skrin bertukar daripada memaparkan saham anda kepada memaparkan dana anda. Kalau anda belum pernah guna, Positions akan kosong dan ada butang Activate SmartSave di sebelah kanan.
- Funds
- SmartSave
Baca halaman SmartSave sebelum aktifkan
Halaman SmartSave menerangkan apa yang berlaku bila anda aktifkan. Ayat kuncinya dalam skrin (Bahasa Inggeris):
“After activating SmartSave, the uninvested cash in your universal account will be automatically transferred into the funds under Cash Plus to earn potential returns; You don’t need to submit any redemption where you can directly trade stocks, IPO shares and automatic repayment of financing interests”
Maksudnya: lepas SmartSave aktif, tunai yang belum dilaburkan dalam akaun universal anda dipindahkan secara automatik ke dana Cash Plus untuk dapat potensi pulangan, dan app kata anda tak perlu redeem untuk terus beli saham, mohon IPO atau bayar faedah pembiayaan.
Ayat ni betul, tapi ada syarat yang tak tertulis di skrin ni. Sistem hanya “keluarkan sendiri” untuk beli saham bila akaun anda ada margin trading dan SmartSave-Sell aktif. Tanpa dua benda tu, anda kena tekan Redeem dulu. Lepas redeem, jumlah tu terus boleh dipakai untuk beli saham tanpa faedah (ikut Trading Rules dalam app).
Kalau anda nak kumpul saham US, baca bahagian Nak kumpul saham US? di bawah sebelum tekan Activate Now.
- Activate Now
- Baca perenggan ni
Sebaik SmartSave aktif, setiap baki tunai yang tidak dilaburkan akan masuk ke dana secara automatik — termasuk duit yang anda baru deposit dan belum sempat digunakan.
Itu bukan masalah bagi kebanyakan orang, sebab anda tetap boleh berdagang seperti biasa. Tapi kalau anda ada sebab tertentu untuk kekalkan tunai sebagai tunai (contohnya anda merancang untuk mengeluarkannya minggu depan), fahami dulu tetapan mana yang anda hidupkan sebelum sahkan.
Nak kumpul saham US? Baca bahagian ni dulu
Ramai aktifkan SmartSave sebab ingat duit dalam Cash Plus boleh terus dipakai untuk beli saham, sama macam tunai biasa. Ayat dalam skrin SmartSave pun bunyi macam tu. Tapi halaman bantuan rasmi Moomoo letak syarat yang tak tertulis dalam skrin tadi.
Cash Plus hanya jadi buying power kalau dua benda aktif serentak. Pertama, akaun anda dah buka margin trading. Kedua, SmartSave-Sell dihidupkan. Itu pun cuma 95% daripada pegangan Cash Plus yang boleh dipakai, dan sistem akan redeem Cash Plus tu secara automatik pada hari berikutnya untuk tampung belian anda.
Jadi kalau akaun anda tak ada margin, duit dalam Cash Plus tak boleh terus beli saham. Anda kena redeem manual dulu, tunggu ia jadi tunai, baru boleh beli.
Ada satu lagi kos untuk saham US. Walaupun margin dan SmartSave-Sell dah aktif, Moomoo sendiri tulis yang dalam sesetengah kes anda masih boleh kena faedah untuk satu hingga beberapa hari. Salah satu sebab yang mereka sebut ialah turun naik kadar tukaran. Ini selalu berlaku bila Cash Plus anda dalam MYR tapi saham yang anda beli dalam USD. Faedah tu datang daripada pinjaman margin yang menampung jurang sementara tu.
Margin ialah pinjaman, dan pinjaman ada faedah. Kalau tujuan anda cuma kumpul saham atau ETF US sikit-sikit setiap bulan, lebih selamat biar duit anda kekal sebagai tunai biasa. Anda tak rugi apa-apa yang besar pun, sebab pulangan Cash Plus untuk beberapa hari tu memang kecil.
Duit baru deposit pun akan masuk Cash Plus
SmartSave hanya untuk ringgit. Bila ia aktif, setiap baki tunai MYR dibeli Cash Plus secara automatik pukul 7:00 pagi setiap hari bekerja. Ini termasuk duit yang anda baru deposit semalam untuk beli saham US.
Kalau anda nak duit tu kekal sebagai tunai, ada dua tetapan dalam SmartSave (Accounts → Universal Account → Funds → SmartSave):
- Amount Reserved — set jumlah yang anda nak kekal sebagai tunai. Contohnya, kalau anda set RM1,000, baki tunai sampai RM1,000 tak akan disentuh. Hanya lebihan yang masuk Cash Plus.
- Pause SmartSave-Buy — hentikan belian automatik Cash Plus selama 3, 5, 7 atau 10 hari. Berguna bila anda baru deposit dan nak beli saham US dalam minggu yang sama.
Kalau anda belum aktifkan SmartSave, tak perlu aktifkan pun. Duit deposit anda kekal sebagai tunai dan terus boleh dipakai untuk beli saham.
Kenapa Total Assets lain daripada Net Assets?
Sebab Total Assets di bahagian atas Accounts kira semua, termasuk tab Funds (contohnya Cash Plus), manakala Net Assets di bawah Securities tak kira dana. Jadi kalau anda ada duit dalam Cash Plus, dua nombor tu memang tak sama. Penerangan penuh setiap nombor ada dalam tutorial baca skrin akaun Moomoo.
Cash Plus tak boleh withdraw terus ke bank
Nak keluarkan duit dari Cash Plus ke bank? Ikut turutan ni:
- Redeem Cash Plus secara manual
- Pause SmartSave-Buy, supaya duit tu tak dibeli semula keesokan paginya
- Tunggu jumlah tebusan masuk akaun (untuk dana dalam screenshot ni, sebelum 8 malam hari dagangan berikutnya)
- Baru buat withdraw macam biasa
Setiap dana ada peraturan sendiri. Anda boleh semak dalam halaman dana → Redeem → Rules → tab Redemption.
- Tiada yuran, masuk T+1
- Cut-off 9 pagi
Perkara yang perlu disemak sebelum masuk
Kadar pulangan yang dipaparkan bukan jaminan. Angka yang anda nampak biasanya berdasarkan prestasi lepas atau anggaran semasa. Angka tu berubah dari hari ke hari mengikut keadaan kadar faedah. Prestasi lepas bukan petunjuk prestasi masa depan.
Semak masa pengeluaran. Berapa lama untuk tebus balik jadi tunai yang boleh digunakan? Untuk dana Cash Plus dalam screenshot di atas, redeem sebelum 9 pagi dan duit masuk sebelum 8 malam hari dagangan berikutnya (T+1). Dana lain mungkin berbeza, jadi semak tab Rules dana tu sendiri.
Semak yuran. Dana pasaran wang ada yuran pengurusan yang ditolak daripada pulangan. Ia biasanya kecil, tapi ketahui berapa.
Semak jumlah minimum. Ada dana yang menetapkan minimum penyertaan.
Bila ini masuk akal
Sesuai untuk:
- Duit yang menunggu untuk dilaburkan, tapi anda belum putuskan ke mana, dan anda tak nak guna untuk saham dalam masa terdekat
- Baki tunai yang anda sengaja simpan sebagai penampan dalam portfolio
(Duit untuk RSP bulan-bulan akan datang pula elok kekal sebagai tunai biasa, sebab tanpa margin Cash Plus tak boleh terus bayar belian RSP. Lihat tutorial RSP.)
Tidak sesuai untuk:
- Teras dana kecemasan anda. Bahagian dana kecemasan yang anda mungkin perlukan hari tu juga elok duduk dalam akaun bank yang dilindungi PIDM dan boleh dikeluarkan serta-merta. Cash Plus kena redeem dulu (T+1) sebelum boleh withdraw, dan bukan deposit bank.
- Duit yang anda perlukan minggu depan untuk perbelanjaan tertentu. Untuk duit yang anda perlukan dalam 1 hingga 3 tahun (contohnya duit kahwin atau deposit rumah), baca duit jangka pendek simpan di mana
- Matlamat pertumbuhan jangka panjang. Dana pasaran wang direka untuk memelihara nilai, bukan untuk menumbuhkannya dengan ketara
Cash Plus menyelesaikan masalah yang kecil — tunai melahu. Cash Plus bukan strategi pelaburan, dan tak akan mengubah kedudukan kewangan anda. Layan Cash Plus sebagai kemudahan, bukan sebagai sebab untuk simpan lebih banyak tunai daripada yang anda perlukan.
Ringkasnya
Kalau anda memang ada baki tunai yang duduk diam dalam akaun broker anda, ini pilihan yang berbaloi difahami. Kalau anda sedang mempertimbangkan untuk pindahkan duit dari akaun simpanan bank ke sini semata-mata sebab kadar nampak lebih tinggi — berhenti dulu dan baca semula bahagian tentang PIDM di atas. Dua produk tu bukan setara, dan perbandingan kadar sahaja mengabaikan perbezaan yang paling penting.
Seperti biasa: ini perkongsian pendidikan, bukan nasihat pelaburan. Baca dokumen produk dan buat keputusan sendiri.
Belum ada akaun Moomoo?
Bila dah ada RM1,000 sedia: daftar guna link Daus, masukkan kod DAUSDK37 dalam "Special Deposit" SEBELUM deposit pertama, deposit RM1,000 dalam 30 hari selepas daftar, tekan Claim sendiri, dan kekalkan deposit 60 hari. Lebih kurang RM150 untuk deposit RM1,000, sehingga RM1,500 untuk deposit lebih besar.
Daftar Moomoo & Claim RewardDaus ialah Marketing Representative rasmi Moomoo Malaysia dan dapat komisen bila anda daftar & deposit. Tiada kos tambahan pada anda.