Scam pelaburan — 5 tanda, cara semak lesen, dan apa nak buat kalau dah kena

Bila orang tahu anda dah mula melabur, anda jadi sasaran. Halaman ni kumpul kes sebenar yang Daus jumpa, 5 tanda scam, skim task harian dan naik level, cara pastikan itu nombor WhatsApp Daus yang sebenar, cara semak lesen terus di laman SC dan BNM, kenapa margin dan forex berbahaya untuk beginner, dan langkah lapor kalau anda dah kena tipu.

📂 Jadi Pelabur⏱️ Baca 10 minit

🚨 Dah pindah duit kepada orang yang anda syak scammer?

Jangan tunggu habis baca. Makin cepat anda telefon, makin tinggi peluang duit disekat sebelum dipindah keluar.

Lepas tu terus telefon bank anda sendiri, guna nombor di belakang kad bank.

Daus nak mula dengan kes sebenar. Nama orang Daus tak sebut, tapi semua ni berlaku kepada audiens Daus sendiri dalam beberapa bulan kebelakangan ni.

  • Seorang ditawarkan “pakej pelaburan Phillip Capital”. Bayar RM450, dan dijanjikan jadi RM9,000 dalam masa 3 jam.
  • Seorang lagi ada “coach Kenanga” yang ajar dia trading, lepas tu minta duit untuk “buka akaun premium”.
  • Beberapa orang di-DM oleh akaun yang mengaku wakil Moomoo di Telegram, ajak masuk group signal.
  • Ada juga akaun TikTok yang guna nama dan gambar Daus, dengan username yang beza satu huruf sahaja.

Phillip Capital dan Kenanga ialah syarikat berlesen yang sebenar. Tapi orang yang DM mereka bukan wakil syarikat tu. Penipu sengaja guna nama syarikat yang betul, sebab bila mangsa google nama tu, ia nampak sah.

Sekurang-kurangnya empat orang hampir kena. Nasib baik mereka tanya dulu.


5 tanda scam

Kalau anda nampak satu daripada lima tanda ni, berhenti. Kalau nampak dua, hampir pasti scam.

1. Janji pulangan tetap, atau pulangan yang terlalu tinggi

RM450 jadi RM9,000 dalam 3 jam ialah pulangan hampir 2,000%. Pelaburan sebenar tak boleh janji pulangan tetap, sebab tiada siapa tahu harga esok. Indeks saham terbesar dunia pun ada tahun yang naik dan ada tahun yang rugi, dan purata jangka panjangnya jauh, jauh lebih rendah daripada janji macam ni.

Ayat macam “untung dijamin”, “modal selamat 100%”, atau “profit harian 5%” ialah tanda scam, bukan tanda pelaburan bagus.

2. “Pakej” pelaburan

Broker sebenar tak jual “pakej”. Anda buka akaun, masukkan duit anda sendiri ke akaun tu, dan anda sendiri yang tekan beli. Kalau seseorang minta anda bayar untuk “pakej”, “slot”, “yuran aktivasi” atau “akaun premium”, itu bukan pelaburan.

3. Minta pindah duit ke akaun bank peribadi

Ini tanda paling jelas. Bila anda deposit ke Moomoo, duit masuk ke akaun Moomoo atas nama anda sendiri, melalui app Moomoo sendiri. Tak ada langkah di mana anda pindah duit ke akaun bank seseorang individu, atau ke syarikat yang namanya lain daripada broker anda.

Kalau ada orang bagi anda nombor akaun bank untuk “deposit pelaburan”, berhenti di situ.

4. Group signal, “mentor” dan “coach”

Penipu suka bawa mangsa masuk group Telegram atau WhatsApp yang penuh dengan orang yang tunjuk screenshot untung. Kebanyakan ahli group tu ialah akaun palsu atau rakan penipu. Screenshot untung senang dipalsukan.

Selepas beberapa hari anda rasa percaya, barulah “mentor” tu minta anda deposit ke platform dia, atau bayar untuk “signal VIP”.

Tak semua kelas trading berbayar ialah scam, tapi ramai yang untung dari yuran kelas, bukan dari trading. Tujuh soalan untuk nilai satu kelas sebelum bayar ada dalam trading harian vs labur lama.

5. Desak anda buat keputusan cepat

“Slot tinggal 3.” “Tawaran tamat malam ni.” “Jangan bagitau family, nanti mereka tak faham.”

Desakan ni sengaja, supaya anda tak sempat berfikir atau tanya orang lain. Pelaburan yang betul masih ada esok, minggu depan, dan bulan depan.

Satu tanda tambahan yang tak boleh dirunding

Tiada siapa yang sah akan minta OTP, password, trading password, atau suruh anda pasang app lain dan kongsi skrin. Bukan bank, bukan Moomoo, bukan Daus. Kalau diminta, itu scam, walau siapa pun dia mengaku.

Skim “task harian”, “naik level” dan “komisen ajak orang”

Ini jenis scam yang paling banyak Daus nampak sekarang, dan ramai mangsa tak sedar sebab mula-mula memang dapat bayaran kecil. Corak dia hampir sama setiap kali:

  • Bayar untuk buka “level”. Anda kena deposit RM100, RM500, kemudian RM2,000 untuk naik ke level seterusnya yang “untung lebih besar”.
  • Buat task harian untuk dapat pulangan. Like video, rate produk, tekan butang “grab order”. Pulangan tu bukan dari pelaburan sebenar. Ia datang dari duit mangsa yang masuk kemudian.
  • Komisen bila ajak orang. Lagi ramai anda bawa masuk, lagi banyak anda dapat. Ini ciri skim piramid atau skim cepat kaya, bukan pelaburan.
  • Dakwa “patuh syariah” atau “berdaftar”. Label halal atau nombor SSM tak bermaksud ia berlesen untuk tawar pelaburan. Lesen pelaburan disemak di laman SC, bukan di SSM.
  • Duit tak boleh dikeluarkan sampai anda bayar lagi. Bila anda nak withdraw, tiba-tiba ada “cukai”, “yuran pengeluaran”, “deposit jaminan” atau akaun “dibekukan” sampai anda top up. Itu tanda paling jelas, dan itulah masa ramai mangsa hilang paling banyak.

Kalau anda dah masuk skim macam ni:

  1. Berhenti bayar, serta-merta. Duit yang anda bayar untuk “unlock” pengeluaran tak akan bawa balik duit lama. Ia cuma tambah kerugian.
  2. Telefon NSRC di 997 secepat mungkin, terutamanya kalau anda baru pindah duit.
  3. Semak nama skim tu dalam Senarai Amaran Pelabur SC, dan ikut langkah lapor penuh di bawah.

Akaun rasmi Daus

Akaun media sosial Daus yang sah hanya tiga:

  • @dausdkofficial
  • @dausdk37
  • @dauskewangan

Akaun lain yang guna nama atau gambar Daus, termasuk yang namanya hampir sama macam @dausdk, ialah penyamar.

Daus tak pernah DM dulu untuk minta duit, minta transfer, minta OTP, jual pakej, atau tawar signal. Daus juga tak urus duit sesiapa. Semua yang Daus kongsi ialah cara guna app dan apa yang Daus sendiri buat dalam akaun Daus sendiri.

Kalau anda jumpa penyamar, report akaun tu dalam app, dan beritahu Daus supaya Daus boleh beri amaran kepada orang lain.

Cara pastikan itu nombor WhatsApp Daus yang sebenar

Jawapan pendek: nombor WhatsApp Daus yang sah ialah +60 11-2344 3917, iaitu nombor yang sama pada butang WhatsApp hijau di laman ni. Nombor lain yang mengaku Daus ialah penyamar.

Semak tiga benda ni sebelum anda percaya:

  1. Nombor tu sama huruf demi huruf dengan +60 11-2344 3917? Penyamar suka guna gambar profil dan nama Daus, tapi nombornya lain. Jangan tengok gambar, tengok nombor.
  2. Siapa yang mula chat dulu? Daus tak DM orang dulu untuk minta duit, minta transfer, minta OTP, jual pakej atau tawar signal. Kalau “Daus” yang mula hubungi anda dengan tawaran, itu bukan Daus.
  3. Ada minta bayaran? Bimbingan Daus dalam WhatsApp percuma. Daus tak caj yuran kelas, yuran “mentor” atau yuran “akaun VIP” untuk ajar guna app. Kalau ada yang minta bayar atas nama Daus, itu scam. Beza bimbingan percuma Daus dengan coach berbayar ada dalam bimbingan.

Akaun media sosial Daus yang sah pula hanya @dausdkofficial, @dausdk37 dan @dauskewangan. Ragu-ragu? Mesej terus nombor +60 11-2344 3917 dan tanya.

Moomoo rasmi pun tak akan DM anda

Moomoo tak DM pengguna di Telegram atau WhatsApp untuk tawar signal, pakej atau bonus. Kalau anda ada masalah dengan akaun, hubungi Moomoo melalui saluran dalam app sendiri. Caranya ada dalam tutorial hubungi customer service Moomoo.


Cara semak lesen dalam 2 minit

Sebelum anda serahkan duit kepada mana-mana syarikat atau orang, semak di laman rasmi ni. Semua link di bawah terus ke halaman semakan, bukan ke muka depan laman.

1. SC Investment Checker: berlesen ke tak? Ini alat semakan rasmi Suruhanjaya Sekuriti (SC).

  1. Buka sc.com.my/investment-checker.
  2. Pilih sama ada anda nak semak individu atau syarikat, kemudian taip nama (atau nombor pendaftaran syarikat).
  3. Baca keputusan. Nama yang sah keluar sebagai pihak berlesen atau berdaftar, contohnya wakil berlesen atau Marketing Representative. Kalau nama tu tak keluar langsung, atau keluar di bahagian amaran, jangan teruskan.

Broker saham, pengurus dana dan wakil mereka yang sah semuanya ada di situ. Cuba sekali dengan nama Moomoo Securities Malaysia supaya anda tahu rupa keputusan yang sah.

2. Senarai Amaran Pelabur SC (Investor Alert List). Ini senarai syarikat, laman web dan individu yang SC dah kenal pasti beroperasi tanpa kebenaran. Buka Investor Alert List SC, taip nama syarikat, app atau laman web dalam kotak carian, dan tekan cari. Kalau nama tu ada dalam senarai ni, jangan teruskan.

3. Financial Consumer Alert List Bank Negara. BNM ada senarai yang serupa untuk skim kewangan haram, termasuk skim yang meniru nama syarikat sebenar (ditanda potential clone entity). Buka Financial Consumer Alert List BNM, kemudian guna fungsi cari dalam browser (Ctrl+F di komputer, atau “Find on page” di telefon) dan taip nama tu.

4. Semak nombor akaun atau telefon di Semak Mule. PDRM ada laman semakmule.rmp.gov.my. Masukkan nombor akaun bank atau nombor telefon yang diberi kepada anda. Kalau ia pernah dilaporkan dalam kes penipuan, ia akan keluar di situ.

Syarikat berlesen tak bermaksud orang yang DM anda wakil syarikat tu

Ini perangkap dalam kes “Phillip Capital” dan “Kenanga” tadi. Syarikatnya memang berlesen. Tapi orang yang DM anda tak ada kaitan dengan syarikat tu. Kalau anda nak berurusan dengan mana-mana broker, pergi terus ke laman web atau app rasmi mereka sendiri. Jangan guna link atau nombor yang diberi dalam DM.


Margin, forex dan duit belanja rumah

Bukan semua kerugian datang dari scam. Ada yang datang dari produk yang sah, tapi berbahaya untuk orang yang baru mula.

Margin: bila anda labur guna duit pinjaman

MarginMelabur guna duit yang dipinjam dari broker.Lihat dalam glosari → bermaksud broker pinjamkan duit supaya anda boleh beli lebih banyak daripada duit yang anda ada. Kedengaran menarik bila pasaran naik. Tapi bila pasaran turun, kerugian anda berganda, dan anda tetap kena bayar faedah atas pinjaman tu.

Lebih teruk, kalau nilai pegangan jatuh terlalu banyak, broker boleh jual saham anda secara paksa untuk tutup pinjaman, selalunya pada harga paling rendah.

Dalam Moomoo, margin hidup secara default, jadi ia boleh terguna tanpa anda sedar.

Order lebih besar dari tunai = pinjaman

Margin hidup secara default. Kalau order lebih mahal dari tunai anda, Moomoo tampung bakinya dengan pinjaman ringgit pada kadar 6.8% setahun. Sebelum tekan Buy, semak Max Qty to Buy (Cash) — itu tunai sahaja. Max Qty to Buy tanpa "Cash" termasuk pinjaman. Cara semak dan tutup: margin dalam Moomoo.

Sebagai beginner, beli dalam had Max Qty to Buy (Cash) sahaja. Tutorial RSP dan Cash Plus terang bila margin boleh terguna tanpa anda sedar.

Forex: kenapa hampir semua tawaran forex dalam DM ialah perangkap

Kebanyakan “akaun forex” yang ditawar melalui group Telegram atau “mentor” di media sosial ialah platform luar negara yang tak berlesen di Malaysia. SC dan Bank Negara berulang kali beri amaran bahawa dagangan forex dengan entiti tak berlesen tidak sah. Kalau duit anda hilang dalam platform macam tu, hampir tiada saluran untuk tuntut balik.

Walaupun platformnya sah, dagangan forex guna leveraj yang sangat tinggi. Pergerakan kecil boleh padam seluruh modal anda dalam beberapa minit.

Duit belanja rumah: masalah yang paling senyap

Daus pernah dapat mesej dari orang yang nak trading untuk tampung belanja bulanan. Daus faham tekanannya. Tapi duit yang anda perlukan untuk sewa, bil dan makan bulan depan tak boleh masuk pasaran saham.

Sebabnya mudah. Bila anda perlukan duit tu, pasaran mungkin tengah jatuh. Anda terpaksa jual masa rugi, dan duit belanja rumah jadi lebih kecil daripada sebelum anda mula. Pelaburan hanya untuk duit lebih, selepas anda ada dana kecemasan.

Kalau anda tertarik dengan trading jangka pendek, cuba dulu dengan paper trading, iaitu duit maya, sampai anda faham betapa susahnya untung secara konsisten.


Kalau dah kena, buat ni ikut turutan

Masa sangat penting. Makin cepat anda bertindak, makin tinggi peluang duit dapat disekat sebelum dipindah keluar.

1. Berhenti bayar, serta-merta. Jangan bayar apa-apa lagi, walaupun mereka kata perlu “yuran pengeluaran”, “cukai” atau “yuran unlock” untuk dapat balik duit anda. Itu lapis kedua scam yang sama.

2. Hubungi bank anda, dan NSRC di talian 997. Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) bekerjasama dengan bank untuk cuba sekat duit yang baru dipindah. Hubungi bank anda juga untuk sekat kad atau akaun kalau maklumat anda dah terdedah.

3. Buat laporan polis. Bawa semua bukti. Laporan polis diperlukan untuk kebanyakan tindakan susulan oleh bank.

4. Lapor kepada Suruhanjaya Sekuriti. Kalau ia melibatkan tawaran pelaburan atau pihak yang mengaku syarikat pelaburan, lapor kepada SC melalui laman rasmi sc.com.my, atau emel aduan@seccom.com.my.

5. Kalau akaun Moomoo anda terlibat, contohnya ada orang dapat password atau OTP anda, tukar password dan trading password dengan segera, dan hubungi customer service Moomoo. Kalau anda kena tipu oleh akaun yang menyamar sebagai Moomoo (contohnya “admin Moomoo” di Telegram), laporkan juga kepada customer service Moomoo melalui saluran rasmi dalam app, supaya mereka tahu akaun palsu tu wujud.

6. Simpan semua bukti. Screenshot perbualan, resit pindahan, nombor akaun bank penerima, nama profil, dan link group. Jangan padam chat walaupun anda malu.

7. Beritahu orang terdekat. Ramai mangsa diam sebab malu. Kena tipu bukan tanda anda bodoh. Penipu ni profesional, dan mereka sasar orang yang baik dan percaya. Bila anda cerita, anda selamatkan orang lain daripada jadi mangsa seterusnya.


Uji diri sendiri

Tanda setiap satu yang anda yakin. Kalau semua dah bertanda, anda dah lebih bersedia daripada kebanyakan orang.

Saya dah bersedia

0/8 siap
Tanda anda tersimpan dalam browser ni sahaja.

Bila anda dah yakin, langkah seterusnya ialah tolong orang tersayang mula dengan cara yang selamat: ajak family dan kawan.

Nak mula dengan broker berlesen, melalui app rasmi?

Bila dah ada RM1,000 sedia: daftar guna link Daus, masukkan kod DAUSDK37 dalam "Special Deposit" SEBELUM deposit pertama, deposit RM1,000 dalam 30 hari selepas daftar, tekan Claim sendiri, dan kekalkan deposit 60 hari. Lebih kurang RM150 untuk deposit RM1,000, sehingga RM1,500 untuk deposit lebih besar.

Daftar Moomoo & Claim Reward

Daus ialah Marketing Representative rasmi Moomoo Malaysia dan dapat komisen bila anda daftar & deposit. Tiada kos tambahan pada anda.

Tanya Daus