Dunia ETF selain S&P 500 — ETF semikonduktor, AI, China, India, Syariah dan Bursa

Selain S&P 500, ada ETF untuk hampir setiap cerita pasaran. Semikonduktor, AI, keselamatan siber, uranium, China, India, Korea, Syariah, dividen, sampailah ETF yang tersenarai di Bursa. Halaman ni terang apa isi setiap satu, berapa yurannya, dan apa yang buat ETF bertema lebih berisiko daripada ETF biasa.

📂 Kaji Saham⏱️ Baca 20 minit
Nak cuba tekan sendiri dulu?Simulator 3 tekanan guna skrin app sebenar. Salah pun tak apa, tiada duit bergerak.

Bila dah faham ETF S&P 500, soalan seterusnya biasanya datang sendiri. “Ada tak ETF untuk syarikat cip?” “Macam mana nak labur dalam China atau India?” “ETF Syariah ada SPUS je ke?”

Jawapannya, ada. Di Amerika sahaja ada beribu-ribu ETF (Exchange Traded Fund)Dana yang pegang banyak saham sekali gus, dan diniagakan macam saham biasa.Lihat dalam glosari →, dan hampir setiap cerita pasaran ada ETF sendiri. Semikonduktor, kecerdasan buatan, keselamatan siber, uranium, pertahanan, China, India, Korea, Vietnam, malah Malaysia pun ada ETF yang tersenarai di New York.

Halaman ni bawa anda jalan-jalan dalam dunia tu. Kita tengok ETF ikut tema dan sektor, ETF ikut negara, ETF Syariah, ETF dividen, ETF yang tersenarai di Bursa, dan satu jenis ETF yang beginner patut jauhi.

Tapi ada satu perkara yang kena faham dulu sebelum kita mula. Semakin sempit isi sesebuah ETF, semakin menarik ceritanya, dan semakin dalam juga ia boleh jatuh. Anda akan nampak corak ni berulang di setiap bahagian.

Nombor dalam halaman ni

Yuran, pegangan dan harga diambil dari laman penerbit ETF dan stockanalysis.com pada 25 hingga 28 September 2026. Jadual ETF Syariah dikemas kini pada 6 Oktober 2026. Senarai ETF Bursa diambil dari senarai rasmi Bursa Malaysia bertarikh Mac 2026. Nombor dalam app anda akan berbeza bila anda baca ni. Setiap ETF dalam halaman ni ialah contoh untuk anda kenal dan kaji sendiri, bukan cadangan beli.


Sebelum mula: nasi dan lauk

Cara paling senang nak faham semua jenis ETF ni ialah dengan fikir pasal pinggan nasi.

ETF yang luas ialah nasi. ETF S&P 500 atau ETF seluruh dunia pegang ratusan hingga ribuan syarikat dari pelbagai industri. Ia jadi asas pinggan. Tak menarik, tapi mengenyangkan.

ETF tema, sektor dan negara ialah lauk. Sambal, ayam goreng, sayur. Ia buat pinggan lebih sedap dan berwarna. Tapi tak ada orang yang makan sambal sepinggan penuh.

Jenis Contoh Pegang berapa syarikat Apa yang gerakkan harganya
ETF luas VOO, VT 500 hingga lebih 10,000 Ekonomi keseluruhan
ETF sektor atau tema SMH, CIBR 25 hingga 150 Nasib satu industri
ETF negara INDA, EWY 27 hingga 600 Ekonomi, kerajaan dan mata wang satu negara

Ramai pelabur susun portfolio macam ni: bahagian besar dalam ETF luas, dan bahagian kecil untuk tema yang mereka betul-betul faham. Berapa besar bahagian kecil tu terpulang pada diri anda sendiri. Tutorial urus portfolio ada had kasar yang ramai orang guna.


Bahagian 1 — Indeks besar selain S&P 500

Sebelum masuk ke tema, ada tiga ETF luas lain yang orang selalu tanya. Tiga-tiga ni masih “nasi”, cuma pinggannya berbeza saiz.

ETF Pegang apa Bilangan syarikat Yuran setahun Tiga pegangan terbesar
QQQ / QQQM Nasdaq-100: 100 syarikat bukan kewangan terbesar di bursa Nasdaq ~104 QQQ 0.18%, QQQM 0.15% NVDA 8.2%, AAPL 7.4%, MSFT 5.6%
VTI Hampir semua syarikat tersenarai di Amerika, besar dan kecil 3,514 0.03% NVDA 6.9%, AAPL 6.3%, MSFT 5.1%
VT Syarikat seluruh dunia, Amerika dan luar Amerika 10,180 0.06% NVDA 4.3%, AAPL 3.8%, MSFT 3.2%

QQQ dan QQQM pegang benda yang sama. Dua-dua jejak indeks Nasdaq-100 dan dikeluarkan oleh syarikat yang sama, Invesco. Bezanya, QQQM dilancarkan pada 2020 sebagai versi untuk pelabur jangka panjang. Yurannya lebih rendah, dan harga seunitnya pun lebih rendah, sekitar USD307 berbanding QQQ sekitar USD745. QQQ pula lebih kerap diniagakan oleh pedagang harian.

Perhatikan satu perkara dalam jadual tu. Nasdaq-100 letak hampir separuh duitnya (47%) dalam 10 syarikat sahaja, dan kebanyakannya syarikat teknologi. Jadi walaupun ia “indeks”, ia jauh lebih tertumpu berbanding VT, di mana syarikat paling besar pun cuma 4.3%.


Bahagian 2 — ETF tema dan sektor

Dalam tutorial Investment Themes, anda dah nampak Moomoo kumpulkan saham ikut cerita, contohnya AI atau perak. Tapi tema dalam app tu cuma senarai. Anda tak boleh beli tema tu terus.

ETF tema ialah cara untuk “beli cerita” tu dalam satu belian. Satu syarikat pengurusan dana pilih syarikat-syarikat yang berkaitan, bungkus dalam satu ETF, dan jual di bursa macam saham biasa.

Cara cari ETF tema dalam Moomoo

Moomoo ada satu tempat khas untuk ETF. Buka tab Markets, dan pilih ETFs di baris atas (sebelah MY, HK, CN dan SG). Skrin ni ada tiga bahagian yang berguna: Index ETFs untuk ETF indeks besar, Thematic ETFs untuk ETF ikut tema, dan ETF Tools yang ada Screener dan Compare.

  1. Semua tema
  2. ETF ikut tema
  3. Screener dan Compare
Markets → ETFs. Tekan anak panah Thematic ETFs.

Tekan anak panah di hujung Thematic ETFs, dan anda akan nampak senarai tema yang panjang. Ni sebahagian daripada apa yang ada dalam app pada 28 September 2026:

Senarai tema ETF dalam Moomoo
Emas, perak, bon, malah ETF ikut satu syarikat.
Negara, dividen dan kadar faedah.
AI, semikonduktor, Jepun dan China.

Buka mana-mana tema, contohnya Semiconductor ETFs, dan anda dapat senarai semua ETF dalam tema tu. Tapi perhatikan baris paling atas dalam screenshot ni. SOXL ialah ETF leveraged 3x, dan ia duduk paling atas sebab senarai tu disusun ikut kenaikan hari tu. Senarai tema tak asingkan ETF biasa daripada ETF berisiko tinggi. Anda kena baca nama penuh sendiri.

  1. Leveraged 3x
  2. ETF biasa
ETF leveraged 3x boleh duduk paling atas senarai tema.

Contoh penuh: ETF semikonduktor, SMH dan SOXX

Semikonduktor ialah cip. Telefon, kereta, mesin basuh dan pusat data AI, semuanya perlukan cip. Sebab tu tema ni jadi antara yang paling popular sejak ledakan AI.

Dua ETF semikonduktor paling besar ialah SMH dari VanEck dan SOXX dari iShares.

SMH SOXX
Bilangan syarikat 25 29
Yuran setahun 0.35% 0.33%
Pegangan terbesar NVDA 19.1% Intel 9.7%
Kedua dan ketiga TSM 9.2%, AMD 5.8% AMD 9.5%, Micron 8.0%
10 teratas bergabung 67% —
SMH dalam Moomoo
  1. Fund
Halaman SMH. AUM ialah saiz dana.
  1. 10 teratas: 67%
  2. NVIDIA 19%
Fund → Holdings. Satu bar jauh lebih panjang.
  1. Indeks
  2. Yuran setahun
Fund → Profile. Indeks dan yuran.

Nama dua-dua ETF ni sama, “semikonduktor”. Tapi isinya tak sama. SMH letak hampir satu per lima duitnya dalam NVIDIA seorang, dan dua pertiga dalam 10 syarikat. SOXX pula hadkan berat setiap syarikat supaya lebih sekata. Maksudnya, kalau NVIDIA jatuh teruk, SMH akan rasa lebih sakit berbanding SOXX.

Ada satu lagi benda yang ramai orang terlepas. Kalau anda dah pegang VOO, anda dah pegang NVIDIA. NVIDIA ialah syarikat paling besar dalam S&P 500, kira-kira 8% daripada VOO. Bila anda tambah SMH di atas VOO, anda bukan tambah syarikat baru. Anda tambah lagi banyak NVIDIA.

Anda boleh nampak semua ni sendiri dengan letak SMH, SOXX dan VOO dalam Compare:

SMH, SOXX dan VOO dalam Compare
  1. Yuran
  2. 25 vs 474 syarikat
Yuran dan bilangan syarikat.
NVIDIA ada dalam ketiga-tiganya.
  1. Pulangan 5 tahun
5 tahun: SMH +359%, VOO +86%.

Dan tengok dua nombor ni. SMH jatuh 33.5% sepanjang tahun 2022. Dalam setahun sampai September 2026 pula, ia naik 89%. Dua-dua nombor ni datang dari ETF yang sama. Itulah rupa ETF tema: naiknya laju, jatuhnya pun laju.

Nak tahu syarikat Bursa dalam rantaian cip?

SMH dan SOXX pegang syarikat cip Amerika dan Asia yang tersenarai di New York. Kalau anda nak tengok syarikat Bursa yang terlibat dalam rantaian cip yang sama, baca tutorial Industry Chain.

Katalog tema lain

Ni sebahagian daripada tema lain yang ada ETF sendiri. Lajur terakhir ialah benda yang anda patut perasan sebelum pertimbangkan ETF tu.

Tema Contoh ETF Syarikat Yuran Pegangan terbesar Perkara nak perasan
AI dan robotik BOTZ 65 0.68% Keyence 10.8%, NVDA 9.4% Banyak syarikat luar Amerika, contohnya Keyence (Jepun) dan ABB (Switzerland)
AI dan data AIQ 96 0.68% PLTR 3.9%, MSFT 3.6%, ORCL 3.4% Ramai syarikat yang dah ada dalam S&P 500
Keselamatan siber CIBR 46 0.58% Palo Alto 9.5%, Fortinet 8.4%, CrowdStrike 8.0% Tiga syarikat pegang satu perempat dana
Uranium dan nuklear URA 64 0.69% Cameco 22.1% Satu syarikat lebih satu per lima dana
Pertahanan dan aeroangkasa ITA 53 0.37% GE Aerospace 20.4%, RTX 16.4% Dua syarikat pegang lebih satu pertiga dana
Tenaga bersih ICLN 145 0.39% First Solar 8.2% Masih separuh di bawah puncak 2021 (baca di bawah)
Inovasi (diurus aktif) ARKK 46 0.75% Tesla 9.2% Pengurus pilih saham sendiri, bukan ikut indeks

Ada juga ETF yang potong pasaran ikut SektorKumpulan syarikat yang buat jenis perniagaan yang sama.Lihat dalam glosari → besar. Yurannya jauh lebih murah sebab ia cuma bahagikan S&P 500 kepada kepingan.

Sektor Contoh ETF Syarikat Yuran Tiga pegangan terbesar
Teknologi XLK 77 0.08% NVDA 15.2%, AAPL 13.9%, MSFT 10.7%
Teknologi (lebih luas) VGT 323 0.09% NVDA 17.7%, AAPL 15.8%, MSFT 11.5%
Kesihatan XLV 64 0.08% Eli Lilly 15.2%, J&J 10.6%, AbbVie 7.6%
Kewangan XLF 80 0.08% Berkshire 12.3%, JPMorgan 11.7%, Visa 8.0%
Hartanah (REIT) VNQ 151 0.13% Welltower, Prologis

Bandingkan yuran dua jadual ni. ETF tema biasanya caj 0.35% hingga 0.75% setahun. VOO pula caj 0.03%. Maksudnya, untuk setiap USD10,000, VOO ambil USD3 setahun, manakala ETF tema boleh ambil sampai USD75. Beza ni kecil dalam setahun, tapi terkumpul bila anda simpan 10 atau 20 tahun.

ETF emas lawan saham syarikat lombong emas

Dalam senarai tema tadi ada Gold. Bila anda buka, jangan terkejut kalau jumpa dua jenis produk yang sangat berbeza dalam carian “gold”.

  • ETF emas pegang jongkong emas fizikal dalam bilik kebal, dan harganya ikut harga emas. Contohnya GLD, yang emasnya disimpan oleh bank penjaga JPMorgan dan HSBC, dengan yuran 0.40% setahun. Di Bursa pula ada 0828EA TradePlus Shariah Gold Tracker, yang letak sekurang-kurangnya 95% dananya dalam emas fizikal dan ada penasihat Syariah.
  • Saham syarikat lombong emas ialah syarikat yang gali emas. Harganya memang dipengaruhi harga emas, tapi juga oleh kos operasi, pengurusan dan hutang syarikat tu. Jadi ia boleh naik atau jatuh jauh lebih banyak daripada emas, dan kadang-kadang bergerak arah lain.

Kod yang ada perkataan GOLD tak semestinya ETF emas. Contohnya, syarikat lombong Barrick dulu guna kod “GOLD” di bursa New York, tapi sejak 9 Mei 2025 Barrick diniagakan dengan kod B. Jadi jangan pilih ikut kod. Baca nama penuh, dan semak sama ada halaman tu ada tab Fund (dana) atau Company (syarikat).

Untuk status Syariah pula, Daus tak jumpa sijil Syariah rasmi untuk GLD, GLDM atau IAU, manakala 0828EA memang ada penasihat Syariah. Langkah penuh dan perbandingan semua jalan emas ada dalam cara beli emas dalam Moomoo.

Dua ETF ni pernah jadi bualan semua orang pada 2020 dan awal 2021.

ARKK ialah ETF “inovasi” yang dipilih sendiri oleh pengurusnya. Harganya naik ke sekitar USD155 pada Februari 2021. Kemudian ia jatuh ke sekitar USD30 pada hujung 2022, iaitu hilang kira-kira 80%. Hari ni, lima tahun kemudian, harganya sekitar USD91. Itu masih kira-kira 40% di bawah puncaknya.

ICLN pula ETF tenaga bersih. Ia capai USD34.25 pada Januari 2021, masa semua orang cakap pasal kenderaan elektrik dan tenaga solar. Harganya sekarang sekitar USD17. Separuh daripada puncaknya.

Dan kalau anda letak ARKK, ICLN dan KWEB (ETF internet China, kita sampai ke dia dalam Bahagian 3) dalam Compare, anda nampak rupa “tema yang dah terlalu popular” dalam satu skrin. Carta 10 tahun naik mencanak ke puncak 2021, kemudian jatuh. Dalam 5 tahun terakhir, ketiga-tiganya masih rugi, sedangkan VOO naik 86% dalam tempoh yang sama.

  1. Puncak 2021
  2. Rugi dalam 5 tahun
5 tahun: ARKK −22%, ICLN −18%, KWEB −37%.

Cerita dua-dua tema ni tak salah. Inovasi memang berlaku, dan dunia memang beralih ke tenaga bersih. Masalahnya, ramai orang masuk bila cerita tu dah jadi tajuk berita utama. Bila semua orang dah bercakap pasal sesuatu tema, harga selalunya dah lama naik. Cerita yang betul tak semestinya pelaburan yang untung, sebab harga masuk pun penting.


Bahagian 3 — ETF negara

ETF negara pegang syarikat dari satu negara atau satu rantau. Bila anda beli ETF negara, anda bergantung pada tiga benda sekali gus: ekonomi negara tu, keputusan kerajaannya, dan nilai mata wangnya berbanding dolar.

Negara Contoh ETF Syarikat Yuran Tiga pegangan terbesar
China (luas) MCHI 586 0.59% Tencent 14.0%, Alibaba 9.5%, CCB 4.2%
China (50 syarikat besar) FXI 60 0.74% Tencent 9.3%, Alibaba 9.2%, CCB 8.9%
China (internet) KWEB 46 0.69% Tencent 10.4%, Alibaba 8.8%, PDD 8.1%
India INDA 174 0.61% HDFC Bank 6.6%, ICICI Bank 5.5%, Reliance 5.5%
India (ikut untung) EPI ~580 0.84% —
Jepun EWJ 173 0.49% MUFG 4.7%, Toyota 3.4%, SMFG 3.0%
Taiwan EWT 81 0.59% TSMC 21.7%, MediaTek 7.7%
Korea Selatan EWY 83 0.59% Samsung 23.5%, SK hynix 22.7%
Vietnam VNM 60 0.66% Vinhomes 7.9%, Vingroup 7.7%, Masan 6.1%
Pasaran membangun EEM 1,216 0.72% TSMC 15.3%, Samsung 7.9%
Pasaran membangun VWO 5,061 0.06% TSMC 14.7%
Malaysia EWM 27 0.50% Public Bank 15.4%, CIMB 13.6%, Maybank 10.9%

Setiap baris dalam jadual tu ada cerita sendiri. Ni lima yang paling banyak mengajar.

China: kisah KWEB

KWEB pegang syarikat internet China seperti Tencent, Alibaba dan PDD. Pada Februari 2021, harganya sekitar USD105. Kemudian kerajaan China mula ketatkan peraturan ke atas syarikat teknologi. Menjelang Oktober 2022, KWEB tinggal sekitar USD17. Hilang 84%.

Hari ni harganya sekitar USD25. Itu masih kira-kira 77% di bawah puncak 2021.

Syarikat-syarikat tu tak bankrap. Tencent dan Alibaba masih untung besar. Yang berubah ialah keputusan kerajaan, dan itu risiko yang tak nampak dalam laporan kewangan.

Ada satu lagi lapisan risiko yang ramai tak tahu. Banyak syarikat China yang tersenarai di Amerika guna struktur yang dipanggil VIE. Bila anda beli saham Alibaba di New York, anda sebenarnya pegang saham syarikat cangkerang di Kepulauan Cayman. Syarikat cangkerang tu ada kontrak dengan syarikat operasi di China, tapi tak memilikinya secara terus. Suruhanjaya Sekuriti Amerika (SEC) sendiri pernah keluarkan amaran kepada pelabur tentang struktur ni.

India: dua cara pilih syarikat

India ialah antara ekonomi yang paling pantas berkembang, dan ramai yang tanya macam mana nak labur di sana. Dua ETF India yang biasa ialah INDA dan EPI, dan cara dua-dua pilih syarikat berbeza.

  • INDA beri berat ikut saiz syarikat (Permodalan pasaran (market cap)Jumlah nilai keseluruhan sebuah syarikat di pasaran.Lihat dalam glosari →). Syarikat paling besar dapat bahagian paling besar, tak kira berapa untungnya.
  • EPI beri berat ikut untung. Hanya syarikat yang buat untung layak masuk, dan syarikat yang untungnya lebih besar dapat bahagian lebih besar.

EPI caj 0.84% setahun, antara yang paling mahal dalam senarai ni. Jadi kalau anda minat India, semak juga berapa yuran yang anda sanggup bayar untuk cara pilih syarikat tu.

Korea dan Taiwan: negara, atau dua syarikat cip?

Tengok balik jadual. Dalam EWY, Samsung dan SK hynix pegang 46% dana. Hampir separuh “ETF Korea” sebenarnya ialah dua syarikat cip memori. Dalam EWT pula, TSMC seorang pegang 22%.

  1. Dua syarikat cip
EWY: Samsung 23.5% + SK hynix 22.7%.

Maksudnya, kalau anda dah pegang SMH, dan kemudian beli EWT dan EWY sebab nak “pelbagaikan ke Asia”, anda sebenarnya beli syarikat cip yang sama berulang kali. Nama ETF tu lain, tapi isinya bertindih.

EEM dan VWO: idea sama, yuran 12 kali ganda

EEM dan VWO dua-dua pegang syarikat dari pasaran membangun seperti Taiwan, China, India dan Korea. Isinya tak sama sepenuhnya, sebab VWO pegang lebih banyak syarikat kecil dan saham China tempatan. Tapi idea asasnya sama.

Bezanya pada yuran. EEM caj 0.72% setahun. VWO caj 0.06%. Untuk USD10,000, itu USD72 berbanding USD6, setiap tahun.

  1. Yuran setahun
EEM 0.72%, VWO 0.06%.

Ini contoh paling jelas kenapa anda kena bandingkan yuran sebelum beli, bukan ikut nama yang paling biasa didengar.

Twist: ETF Malaysia yang tersenarai di Amerika

Ya, EWM ialah ETF di New York yang pegang syarikat Malaysia. Public Bank, CIMB dan Maybank sahaja dah 40% daripada dana, dan 10 syarikat terbesar pegang 72%.

Buka tab Fund pada halaman EWM, dan Moomoo sendiri tunjuk kod Bursa setiap pegangan: 1295 PBBANK, 1023 CIMB, 1155 MAYBANK. Semua tu syarikat yang anda boleh beli terus di Bursa.

  1. Boleh beli terus di Bursa
Pegangan EWM, lengkap dengan kod Bursa.

Tapi fikir apa jadi kalau anda, orang Malaysia, beli EWM dari Moomoo:

  1. Anda tukar ringgit ke dolar untuk beli ETF yang pegang bank Malaysia.
  2. Bank-bank tu bayar dividen kepada ETF. ETF kemudian agihkan dividen tu kepada anda, dan Amerika potong 30% sebab ia agihan dari dana Amerika.
  3. Bila anda jual, anda tukar dolar balik ke ringgit.

Kalau anda beli terus saham Public Bank, CIMB atau Maybank di Bursa, tiada tukaran mata wang. Dividen syarikat Malaysia pula tak dikenakan cukai untuk kebanyakan pelabur runcit. Cukai dividen 2% cuma kena pada individu yang terima dividen lebih RM100,000 setahun. EWM dibina untuk pelabur luar negara yang nak masuk Malaysia. Untuk orang Malaysia, jalan yang lebih pendek selalunya ada di Bursa sendiri.


Bahagian 4 — ETF Syariah: lebih banyak pilihan dari SPUS

Ramai yang ingat ETF Syariah cuma SPUS. Sebenarnya ada satu keluarga ETF Syariah, merangkumi saham Amerika, saham luar Amerika, teknologi, hartanah dan sukuk.

ETF Pegang apa Syarikat Yuran Pegangan terbesar
SPUS Syarikat S&P 500 yang lulus tapisan Syariah ~214 0.45% NVDA 14.3%, AAPL 12.3%, MSFT 9.7%
HLAL Syarikat besar dan sederhana Amerika, tapisan FTSE Shariah ~200 0.50% NVDA 13.2%, AAPL 11.8%, MSFT 9.5%
SPWO Syarikat patuh Syariah luar Amerika, separuh negara maju dan separuh negara membangun ~400 0.55% TSMC 20.8%, Samsung 4.2%, SK hynix 3.6%
UMMA Syarikat patuh Syariah seluruh dunia, luar Amerika ~99 0.65% Samsung 7.8%, SK hynix 6.7%, TSMC 5.9%
SPTE Teknologi seluruh dunia, patuh Syariah ~108 0.55% TSMC 11.8%, NVDA 11.8%, AAPL 11.4%
SPRE REIT seluruh dunia, patuh Syariah 31 0.50% Equinix 13.3%, Welltower 13.3%, Goodman 12.5%
SPSK Sukuk dalam dolar AS (bukan saham) — 0.50% Hasil sekitar 3.5% setahun

Bilangan syarikat dan peratus pegangan berubah dari masa ke masa, jadi anggap nombor ni sebagai gambaran kasar (sumber: laman SP Funds, Wahed dan stockanalysis.com, serta app Moomoo, 6 Oktober 2026).

Cara paling cepat nak tengok keluarga ni dalam app: taip SP Funds dalam Search. Kelima-lima ETF Syariah SP Funds keluar sekali gus.

  1. Keluarga SP Funds
Cari SP Funds: lima ETF Syariah.

Beberapa perkara yang berguna untuk diketahui:

  • SPUS dan HLAL ialah dua cara berbeza ke tempat yang sama. Dua-dua pegang syarikat besar Amerika yang lulus tapisan Syariah, tapi guna penapis dari penyedia indeks yang berbeza. HLAL dikeluarkan oleh Wahed. Kalau anda guna app Wahed, tutorial saham US dalam Wahed terang cara belinya di sana. Perbandingan sebenar dua-dua ETF ni sebelah-menyebelah ada dalam tutorial Compare.
  • SPTE dan SPRE ialah “lauk” Syariah. SPTE tertumpu pada teknologi, dan tiga syarikat teratasnya pegang lebih satu pertiga dana. SPRE pula cuma 31 REIT.
  • SPSK bukan saham. Ia pegang sukuk, iaitu instrumen hutang patuh Syariah. Harganya bergerak jauh lebih perlahan daripada ETF saham, dan ia biasanya digunakan untuk bahagian portfolio yang lebih tenang.
  • Untuk ETF Syariah yang boleh dibeli dalam ringgit, tengok Bahagian 6 di bawah.

Kenapa ETF Syariah macam SPTE tiada logo Syariah dalam app?

Dalam Moomoo, saham atau ETF yang ditanda patuh Syariah ada ikon bulan sabit hijau dalam baris lencana di sebelah nama. SPUS ada ikon tu. SPTE pula tiada, walaupun SPTE sendiri ialah ETF Syariah yang ikut garis panduan AAOIFI.

Lencana Syariah dalam halaman ETF (6 Okt 2026)
SPUS: ada bulan sabit hijau.
SPTE: tiada bulan sabit.

Daus belum jumpa penjelasan rasmi Moomoo kenapa jadi macam ni. Yang pasti, label Syariah dalam app bergantung pada senarai atau pembekal data yang broker tu guna sendiri. Jadi kalau sesuatu ETF tiada label, semak prospektus atau laman penerbit ETF tu. Tiada label tak semestinya bermaksud tak patuh. Cara Moomoo tanda Syariah dan siapa yang menapis saham Amerika ada dalam saham halal ke.

Patuh Syariah bukan bermaksud risiko rendah

Status Syariah beritahu anda apa yang dipegang, bukan berapa selamat ia. SPTE contohnya tetap ETF teknologi, dan ia akan jatuh bila saham teknologi jatuh. Panduan penuh laluan Syariah ada dalam cara pilih saham atau ETF.


Bahagian 5 — ETF dividen dan pendapatan

Tak suka baca? Tengok video pendek ni

Screener ETFVideo 38 saat · ada suara dan sari kata

Ada ETF yang dibina khusus untuk bayar DividenSebahagian keuntungan syarikat yang diagihkan kepada pemegang saham.Lihat dalam glosari → secara tetap. Ia popular dengan orang yang mahukan “gaji” dari pelaburan.

ETF Cara kerja Syarikat Yuran Bayar Hasil kasar
SCHD 100 syarikat Amerika yang bayar dividen tinggi dan konsisten ~100 0.06% 3 bulan sekali —
VYM Syarikat Amerika yang hasil dividennya lebih tinggi dari purata 602 0.04% 3 bulan sekali ~2.2%
JEPI Saham S&P 500 + jual opsyen untuk kutip premium — 0.35% Setiap bulan ~8%
JEPQ Saham Nasdaq-100 + jual opsyen untuk kutip premium — 0.35% Setiap bulan Tinggi, berubah setiap bulan (semak Div Yield TTM dalam app)

Hasil JEPI dan JEPQ nampak sangat tinggi. Jadi kena faham dari mana duit tu datang.

JEPI dan JEPQ pegang saham, kemudian jual hak kepada orang lain untuk beli saham tu pada harga tertentu. Bayaran untuk hak tu (dipanggil premium) yang diagihkan kepada anda setiap bulan. Tapi ada harganya. Bila pasaran naik kuat, ETF ni tak dapat naik sepenuhnya, sebab kenaikan tu dah “dijual” kepada orang lain. Anda tukar sebahagian kenaikan masa depan dengan duit tunai sekarang.

Agihan tu juga tak tetap. Dalam tab Fund → Dividends JEPI, anda boleh nampak JEPI bayar USD6.36 seunit pada 2022, tapi cuma USD4.72 pada 2025. Hasil 8% hari ni bukan janji untuk tahun depan.

JEPI dalam Moomoo
  1. Agihan seunit berubah
Hasil 8.07%, bayar 12 kali setahun.
Pulangan tahunan 5 tahun: 7.41%.

Ada satu lagi perkara yang penting untuk orang Malaysia. Setiap dividen dari ETF Amerika dipotong 30% sebelum masuk akaun anda, sebab Malaysia tiada perjanjian cukai dengan Amerika. Jadi hasil 8% tu jadi sekitar 5.6% di tangan anda. Hasil 2.2% jadi sekitar 1.5%.

Untuk orang yang perlukan aliran tunai sekarang, ETF pendapatan mungkin masuk akal. Tapi untuk orang yang masih nak besarkan duit dalam jangka panjang, potongan 30% pada setiap agihan tu ialah kos yang besar. Penerangan penuh pasal potongan dividen ada dalam lepas beli saham pertama.


Bahagian 6 — ETF di Bursa Malaysia

Ramai tak perasan yang Bursa pun ada ETF. Ikut senarai rasmi Bursa Malaysia (Mac 2026), ada 13 ETF (14 kaunter, sebab satu ETF ada versi ringgit dan dolar), dan 7 daripadanya patuh Syariah. Anda boleh beli ETF Bursa dalam Moomoo sama macam beli saham Bursa biasa.

Satu perkara pasal kod. Saham biasa Bursa berkod 4 digit, contohnya 1155 MAYBANK. ETF Bursa berkod 4 digit + EA (contohnya 0828EA), atau EB untuk versi dolar. Ini bukan warrant. Warrant pula berkod lain, contohnya 11552H, dan namanya ada huruf “C” dengan nama penerbit (MAYBANKC2H). Jadi sentiasa baca nama penuh.

Dalam app, senarai penuh ada di Markets → MY → ETFs. Atau taip EQ8 dalam Search untuk nampak keluarga ETF Syariah Eq8 sekali gus.

ETF Bursa dalam Moomoo
  1. +0.00% = tiada dagangan
Markets → MY → ETFs. Perhatikan lajur % Chg.
Cari EQ8: lima ETF Syariah Eq8.

Perhatikan satu perkara dalam senarai tu. Pada hari screenshot diambil, kebanyakan ETF Bursa tunjuk +0.00%, maksudnya tiada siapa pun berniaga ETF tu hari tu.

Kod Nama Pegang apa Syariah
0821EA Eq8 Dow Jones Islamic Market Malaysia Titans 25 25 syarikat patuh Syariah terbesar di Bursa Ya
0824EA Eq8 MSCI Malaysia Islamic Dividend Syarikat Bursa patuh Syariah yang bayar dividen tinggi Ya
0839EA Eq8 FTSE Malaysia Enhanced Dividend Waqf Syarikat Bursa dividen tinggi, sebahagian agihan untuk wakaf Ya
0820EA FTSE4Good Bursa Malaysia ETF (dulu FBM KLCI ETF) Syarikat besar Bursa Tidak
0825EA Eq8 MSCI SEA Islamic Dividend Syarikat dividen patuh Syariah di Asia Tenggara Ya
0827EA Eq8 Dow Jones U.S. Titans 50 50 syarikat patuh Syariah terbesar Amerika, dalam ringgit Ya
0823EA Principal FTSE China 50 50 syarikat China terbesar di Hong Kong Tidak
0829EA / 0829EB TradePlus S&P New China Tracker Syarikat China sektor pengguna dan perkhidmatan (EA dalam ringgit, EB dalam dolar) Tidak
0838EA VP-DJ Shariah China A-Shares 100 100 saham China tempatan patuh Syariah Ya
0828EA TradePlus Shariah Gold Tracker Emas fizikal Ya
0800EA ABF Malaysia Bond Index Fund Bon kerajaan Malaysia Tidak
0834EA Kenanga KLCI Daily 2x Leveraged Dua kali ganda pergerakan harian KLCI Tidak
0835EA Kenanga KLCI Daily (-1x) Inverse Terbalik pergerakan harian KLCI Tidak

Kelebihan ETF Bursa untuk orang Malaysia:

  • Beli dalam ringgit. Tak perlu tukar ke dolar, jadi tiada kos tukaran dan tiada risiko mata wang semasa beli dan jual.
  • Agihan tak dipotong 30% di tangan anda, sebab ETF ni dana Malaysia. Tapi untuk ETF yang pegang saham Amerika seperti 0827EA, dividen syarikat Amerika masih dipotong di peringkat dana sebelum sampai ke ETF. Jadi kelebihan ni paling besar untuk ETF yang pegang saham Malaysia.
  • Duti setem dikecualikan. Menurut halaman bantuan Moomoo Malaysia, jual beli ETF Bursa dikecualikan duti setem sehingga 31 Disember 2028.
  • 0827EA bagi pendedahan kepada syarikat besar Amerika dalam ringgit, dan 0828EA bagi pendedahan kepada emas tanpa simpan emas fizikal. Dua-dua patuh Syariah.

Kelemahan yang kena tahu:

  • Kebanyakannya dagangan sangat nipis. 0828EA (emas) antara yang paling aktif, dengan 184,400 unit bertukar tangan pada 28 September 2026. Tapi 0827EA langsung tiada dagangan hari tu, dan kali terakhir ia diniagakan ialah 25 September. Buku pesanan 0827EA pula cuma ada satu pembeli pada RM3.950 untuk 300 unit, dan tiada penjual langsung, walaupun harga terakhirnya RM4.050. Bila sedikit sangat orang berniaga, Bid / Ask (dan spread)Bid = harga pembeli sanggup bayar. Ask = harga penjual mahu. Bezanya = spread.Lihat dalam glosari → jadi lebar. Anda mungkin bayar lebih mahal bila beli dan terima lebih rendah bila jual. Guna limit order, jangan market order.
ETF Bursa yang aktif dan yang sunyi
  1. Volume
0828EA: 184,400 unit sehari.
  1. Dagangan terakhir
0827EA: volume 0.
  1. Bid vs Ask
Satu pembeli, tiada penjual.
  • Yuran tetap setiap order. Dalam Moomoo, setiap order Bursa kena platform fee RM3, komisen 0.03% (ditanggung voucher 0 komisen user baru), clearing fee 0.03% dan SST 8% atas yuran tu. Duti setem ETF dikecualikan. Jadi satu lot 0828EA bernilai lebih kurang RM520 kena yuran lebih kurang RM3.40, iaitu sekitar 0.65%. Lebih kecil order, lebih besar peratusnya.
  • Beli ikut lot 100 unit, sama macam saham Bursa. Kalau satu unit 0828EA sekitar RM5.20, satu lot jadi sekitar RM520. Belian odd lot (bawah 100 unit) pun boleh, tapi lebih perlahan untuk padan. Tutorial beli saham pertama terang cara beli odd lot.
  • Pilihan lebih sedikit. Tiada ETF semikonduktor atau ETF India di Bursa. Untuk tema tu, anda kena ke pasaran Amerika.

Bahagian 7 — ETF leveraged dan inverse: jangan jadikan simpanan

Ada ETF yang nama dia berbunyi macam jalan pintas untuk kaya. TQQQ gandakan pergerakan harian Nasdaq-100 tiga kali. SOXL gandakan pergerakan harian indeks semikonduktor tiga kali. SQQQ pula bergerak tiga kali ganda terbalik dari Nasdaq-100. Bursa pun ada versi sendiri, 0834EA dan 0835EA.

ETF ni selalunya menyorok di sebelah ETF biasa dengan kod yang hampir sama. Cari SOX dalam Moomoo, dan anda akan jumpa SOXL (3x naik) dan SOXS (3x terbalik) di atas SOXX yang biasa. Cari SMH pula, dan SMHU (3x) serta SMHD (−3x) muncul dalam senarai yang sama.

Kod hampir sama, risiko jauh berbeza
  1. 3x
  2. −3x
  3. ETF biasa
Cari SOX.
  1. ETF biasa
  2. 3x
  3. −3x
Cari SMH.

Kata kunci dalam semua ETF ni ialah harian. Penerbit ETF ni sendiri tulis dalam prospektus bahawa matlamatnya hanya untuk satu hari. Untuk tempoh lebih dari sehari, hasilnya boleh jauh berbeza dari “tiga kali ganda”.

Tengok kiraan mudah ni. Katakan indeks naik 10% hari ni, dan turun 10% esok.

Hari 1 Hari 2 Akhir
Indeks 100 → 110 (+10%) 110 → 99 (−10%) Rugi 1%
ETF 3x 100 → 130 (+30%) 130 → 91 (−30%) Rugi 9%

Indeks rugi 1%. ETF 3x tak rugi 3%. Ia rugi 9%. Bila pasaran naik turun berulang kali, kerugian ni terkumpul walaupun indeks kembali ke tempat asal.

Dan ni yang berlaku pada 2022:

Jatuh dari puncak ke bawah
QQQ (Nasdaq-100 biasa) sekitar −33%
TQQQ (3x Nasdaq-100) −81.7%
SOXL (3x semikonduktor) −90.5%

Kalau anda letak RM10,000 dalam SOXL pada puncak, anda tinggal kurang dari RM1,000. Untuk balik ke RM10,000, ia kena naik lebih 10 kali ganda.

Sekarang tengok hasilnya dalam jangka panjang. Letak SMH, SOXL, TQQQ dan QQQ dalam Compare, dan tengok baris 5Y Cumulative. Dalam 5 tahun, SMH naik 359%, tapi SOXL yang “3 kali ganda” cuma naik 226%. ETF yang janji tiga kali ganda akhirnya dapat kurang daripada ETF biasa, sebab kejatuhan 2022 makan sebahagian besar keuntungannya. TQQQ pula cuma sedikit di atas QQQ (136% berbanding 105%), walaupun risikonya jauh lebih tinggi.

Untuk adil, dalam tempoh 10 tahun SOXL naik jauh lebih tinggi, iaitu +5,432% dalam baris 10Y Cumulative pada screenshot pertama di bawah (diambil 25 September 2026). ETF leveraged boleh menang besar bila pasaran naik lama tanpa jatuh teruk. Masalahnya, tiada siapa tahu bila kejatuhan seterusnya akan datang, dan bila ia datang, ETF leveraged jatuh jauh lebih dalam.

ETF leveraged dalam Compare
  1. SOXL: USD28 hingga USD302 dalam setahun
  2. Pulangan 5 tahun
5 tahun: SMH +359%, SOXL +226%.
  1. Yuran
  2. Leverage 3x
Yuran SOXL 0.91%, TQQQ 0.97%.
Pegangan SOXL: kebanyakannya dana tunai dan swap.

Screenshot ketiga tu pun menarik. Pegangan terbesar SOXL bukan saham cip, tapi dana pasaran wang dan kontrak swap. ETF leveraged capai “3 kali ganda” melalui kontrak kewangan dengan bank, bukan dengan beli tiga kali lebih banyak saham.

Bukan untuk simpan lama

ETF leveraged dan inverse dibina untuk pedagang yang beli dan jual dalam masa sehari dua. Kalau anda simpan TQQQ atau SOXL macam anda simpan VOO, anda sedang ambil risiko yang sangat berbeza dari apa yang nama dia bayangkan.


Bahagian 8 — Cara kaji ETF tema dalam Moomoo sebelum beli

Sebelum beli mana-mana ETF dari halaman ni, buat lima semakan ni dalam Moomoo.

1. Cari kod ETF dan baca nama penuhnya. Tekan Search, taip kod, dan baca nama penuh setiap hasil. Kod yang hampir sama selalunya produk lain. Contohnya, SOXX ialah ETF semikonduktor biasa, tapi SOXL ialah versi leveraged 3x.

2. Letak sebelah ETF yang anda dah pegang, guna Compare. Buka halaman ETF tu, tekan ikon ⋯ di hujung kanan bar bawah, pilih Compare, dan tambah ETF yang anda dah ada. Tengok bahagian Top 10 Holdings. Kalau nama yang sama muncul di atas setiap ETF, anda bukan menambah kepelbagaian. Langkah penuh ada dalam tutorial Compare.

  1. Syarikat sama
Empat ETF berbeza, tapi tiga pegangan teratas sama.

3. Bandingkan yuran. Dalam skrin Compare yang sama, tengok baris Expense Ratio. Ingat contoh EEM dan VWO tadi: idea sama, yuran 12 kali ganda.

Tekan Expense Ratio. Beza yuran terus nampak.

4. Tengok carta paling panjang yang ada, termasuk tahun 2022. Tukar carta ke tempoh 5 tahun. Tahun 2022 ialah ujian yang baik sebab hampir semua tema jatuh teruk tahun tu. Tanya diri sendiri: kalau ETF ni jatuh separuh selepas saya beli, saya akan jual dalam panik atau terus simpan?

5. Semak saiz dana. ETF yang terlalu kecil lebih berisiko ditutup oleh penerbitnya. Bila ETF ditutup, anda tak hilang semua duit. Anda akan terima tunai ikut nilai hari tu. Tapi pelaburan anda terhenti, mungkin pada masa yang anda tak pilih.

Nak beli salah satu?

Kalau lepas kaji anda nak beli ETF Amerika dari halaman ni, ada tiga perkara yang orang selalu terlepas. Pertama, banyak ETF berharga ratusan dolar seunit. SMH contohnya sekitar USD606 seunit, iaitu lebih kurang RM2,500. Jadi dengan modal RM1,000, anda perlu beli pecahan unit (fractional), dan fractional ada peraturan sendiri:

Peraturan fractional yang selalu orang terlepas
  • Minimum USD5 setiap order (RSP minimum USD1).
  • Hanya masa pasaran US biasa, dan hanya order Day. Waktu Malaysia: sampai 31 Okt 2026, 9:30 malam – 4 pagi; mulai 2 Nov 2026, 10:30 malam – 5 pagi.
  • Sabtu malam dan Ahad malam tutup. Jumaat malam masih buka. Pasaran buka semula Isnin malam.
  • Nak jual, tukar ke Shares (bilangan unit, boleh perpuluhan). Amount hanya untuk beli.

Kedua, setiap order ada yuran, dan yurannya lain untuk order bawah 1 unit dan 1 unit ke atas:

Yuran setiap order saham US

Order bawah 1 unit (fractional, termasuk kebanyakan belian RSP kecil): platform fee 0.99% daripada nilai order, maksimum USD0.99, tanpa komisen. Order 1 unit ke atas: platform fee USD0.99 setiap order (komisen 0.03% ditanggung voucher 0 komisen user baru). Setiap order juga kena duti setem Malaysia RM1 bagi setiap RM1,000 atau sebahagiannya (lebih kurang USD0.24).

Contoh sebenar dari akaun Daus: belian VOO USD25 kena platform fee USD0.25 + duti setem USD0.24 = USD0.49 (lebih kurang 2%). Jadual penuh: yuran Moomoo.

Ketiga, langkah demi langkah dari cari ETF sampai tekan Buy ada dalam beli ETF US pertama. Untuk ETF Bursa pula, ikut cara beli saham pertama, sebab caranya sama macam beli saham Bursa.


Bahagian 9 — Dua hal cukai yang ramai terlepas

Ni bukan nasihat cukai. Tapi dua perkara ni patut anda tahu sebelum pegangan Amerika anda jadi besar.

1. Dividen dipotong 30%. Dah disebut di atas. Ia terpakai pada semua ETF Amerika, termasuk ETF Syariah dan ETF negara.

2. Cukai harta pusaka Amerika. Ini yang jarang orang sebut. Bila pemegang yang bukan warganegara atau pemastautin Amerika meninggal dunia, aset Amerika yang melebihi USD60,000 boleh dikenakan cukai harta pusaka Amerika, pada kadar sehingga 40%. Saham dan ETF yang tersenarai di Amerika dikira sebagai aset Amerika. Malaysia pula tiada perjanjian cukai harta pusaka dengan Amerika.

USD60,000 tu kira-kira RM250,000 pada kadar hari ni. Untuk kebanyakan orang yang baru mula, jumlah tu masih jauh. Tapi kalau anda simpan ETF Amerika setiap bulan selama 15 atau 20 tahun, anda mungkin akan sampai ke situ. Bila pegangan anda makin besar, rujuk perunding cukai atau perancang harta pusaka yang faham hal ni.

ETF yang tersenarai di Bursa tak terlibat dengan cukai ni, sebab ia bukan aset Amerika.


Kesilapan biasa

  • Beli ikut nama tanpa buka isinya. “ETF AI” yang pegangan terbesarnya Microsoft, atau “ETF Korea” yang separuhnya dua syarikat cip. Nama ialah pemasaran. Isi ialah apa yang anda beli.
  • Kumpul banyak ETF yang semua pegang syarikat yang sama. VOO, QQQ, SMH, AIQ dan EWT, lima nama berbeza, tapi NVIDIA atau TSMC ada di atas hampir setiap satu.
  • Masuk tema bila ia dah jadi tajuk berita. ARKK, ICLN dan KWEB semuanya jatuh lebih separuh selepas jadi bualan ramai.
  • Tak bandingkan yuran. 0.72% atau 0.06% untuk idea yang hampir sama.
  • Simpan ETF leveraged macam simpan ETF biasa.
  • Guna market order untuk ETF Bursa yang dagangannya nipis.

Ringkasan

  • ETF luas ialah nasi. ETF tema, sektor dan negara ialah lauk. Lauk buat pinggan lebih sedap, tapi jarang orang makan lauk sahaja.
  • ETF tema lebih tertumpu, lebih mahal yurannya, dan boleh jatuh lebih separuh bila cerita dah berubah atau harga dah terlalu tinggi.
  • ETF negara bergantung pada ekonomi, kerajaan dan mata wang satu negara. Sesetengahnya lebih kepada dua tiga syarikat berbanding satu negara.
  • Pilihan Syariah lebih banyak dari SPUS, termasuk teknologi, REIT, sukuk dan ETF Bursa dalam ringgit.
  • ETF dividen Amerika dipotong 30% untuk orang Malaysia. ETF leveraged bukan untuk simpan lama.
  • Sebelum beli, guna Compare untuk semak isi, yuran dan pertindihan dengan apa yang anda dah pegang.

Semua ETF dalam halaman ni ialah contoh untuk dikaji, bukan cadangan beli. Ikut diri anda sendiri, dan ini bukan nasihat kewangan.

Nak kaji ETF-ETF ni dalam app sendiri?

Bila dah ada RM1,000 sedia: daftar guna link Daus, masukkan kod DAUSDK37 dalam "Special Deposit" SEBELUM deposit pertama, deposit RM1,000 dalam 30 hari selepas daftar, tekan Claim sendiri, dan kekalkan deposit 60 hari. Lebih kurang RM150 untuk deposit RM1,000, sehingga RM1,500 untuk deposit lebih besar.

Daftar Moomoo & Claim Reward

Daus ialah Marketing Representative rasmi Moomoo Malaysia dan dapat komisen bila anda daftar & deposit. Tiada kos tambahan pada anda.

Tanya Daus