Cara guna Moomoo AI — tanya soalan saham dalam Bahasa Melayu, baca ringkasan AI dan semak sumbernya (screenshot setiap skrin)

Moomoo AI boleh terangkan perniagaan syarikat, banding ETF dan ringkaskan berita saham. Tutorial ni tunjuk cara buka, cara dapat jawapan dalam Bahasa Melayu, cara semak sumber jawapan, dan siapa yang layak guna ringkasan AI.

📂 Kaji Saham⏱️ Baca 13 minit

Bila baru belajar saham, banyak soalan yang rasa terlalu asas untuk ditanya orang. “Maybank buat duit dari mana?” “Apa beza VOO dengan SPUS?” “RSI oversold tu maksudnya apa?”

Moomoo AI ialah pembantu dalam app yang boleh jawab soalan macam ni dalam bahasa biasa, termasuk Bahasa Melayu. Ia juga tulis ringkasan harian dan mingguan untuk setiap saham, terus dalam halaman saham tu.

Tapi AI boleh silap. Jadi tutorial ni bukan setakat tunjuk cara bertanya. Ia juga tunjuk cara semak dari mana AI dapat jawapannya, dan jenis soalan yang patut dielakkan.

Jawapan AI bukan nasihat pelaburan

Moomoo sendiri letak penafian di bawah setiap jawapan: kandungan yang dijana AI bukan nasihat pelaburan dan tak dijamin tepat. Guna Moomoo AI untuk faham, bukan untuk buat keputusan beli atau jual bagi pihak anda.


Bahagian 1 — Buka Moomoo AI

1
Tab Markets

Tekan butang AI dalam tab Markets

Buka tab Markets. Di kanan atas skrin, sebelah ikon carian, ada butang kecil dengan muka robot dan perkataan AI. Tekan butang tu.

Ada satu lagi jalan masuk, iaitu ikon robot di atas halaman setiap saham. Kita guna jalan tu dalam Bahagian 3.

Butang AI di kanan atas Markets.
2
Skrin Moomoo AI

Skrin utama Moomoo AI

Skrin Hi, I’m Moomoo AI terbuka. Ada tiga bahagian:

  • Soalan cadangan di tengah. Tekan salah satu untuk terus tanya. Tekan Refresh untuk tukar cadangan.
  • Ask anything di bawah. Taip soalan anda di sini, atau tekan ikon mikrofon untuk bercakap.
  • Butang mod di bawah kotak soalan, yang kita terangkan dalam langkah seterusnya.

Perhatikan juga bar bawah. Semasa dalam Moomoo AI, ikon terakhir bertukar jadi AI.

Soalan cadangan di tengah, kotak soalan di bawah.
3
Butang mod

Pilih mod: Expert, Reason atau Flash

Tekan butang Expert ▾ di bawah kotak soalan. Tiga mod muncul:

Mod Penerangan dalam app Bila sesuai
Expert Tackles complex tasks Soalan yang perlukan banyak data, contohnya banding dua syarikat
Reason Analyzes in depth Soalan “kenapa” yang perlukan penerangan panjang
Flash Responds quickly Soalan pendek, contohnya maksud satu istilah

Kalau tak pasti, biarkan Expert. Dalam contoh kita, semua soalan ditanya dengan mod Expert.

Tiga mod jawapan.

Bahagian 2 — Tanya soalan pertama

4
Kotak Ask anything

Taip soalan dan tekan butang hantar

Tekan kotak Ask anything dan taip soalan. Kita cuba soalan yang ramai orang tanya:

Apa beza ETF VOO dan SPUS? Terangkan untuk orang baru dalam Bahasa Melayu.

Bila ada teks, satu butang hantar putih muncul di sebelah ikon mikrofon. Tekan butang tu.

AI akan tunjuk Planning & Executing… semasa ia cari data. Dalam cubaan kami, jawapan penuh ambil masa satu hingga dua minit untuk soalan macam ni.

Taip soalan, kemudian tekan butang hantar.
5
Jawapan pertama

Kalau jawapan keluar dalam bahasa Cina

Ini yang berlaku dalam cubaan kami. Walaupun soalan ditulis dalam Bahasa Melayu dan hujungnya minta Bahasa Melayu, jawapan pertama keluar dalam bahasa Cina.

Jangan tutup app. Taip saja arahan pendek:

Tolong jawab semula dalam Bahasa Melayu, bukan bahasa Cina.

Jawapan kedua keluar dalam Bahasa Melayu yang jelas, lengkap dengan ringkasan, jadual perbandingan dan penerangan satu per satu.

Tip: letak arahan bahasa di awal soalan, bukan di hujung. Dalam Bahagian 3, soalan yang bermula dengan “Jawab dalam Bahasa Melayu mudah:” terus dapat jawapan Bahasa Melayu pada cubaan pertama.

Cubaan pertama dan selepas diminta semula
Cubaan pertama: bahasa Cina.
Selepas diminta: Bahasa Melayu.
6
Skrol ke bawah jawapan

Hujung jawapan: penafian, butang dan soalan susulan

Skrol ke hujung jawapan. Anda akan jumpa tiga benda:

  1. Penafian dalam tulisan kecil kelabu. Maksudnya: kandungan AI bukan nasihat pelaburan, tak dijamin tepat, dan anda guna atas risiko sendiri.
  2. Butang 👍 dan 👎 untuk beri maklum balas, dan butang Share untuk kongsi jawapan.
  3. Soalan susulan yang AI cadangkan. Tekan salah satu untuk terus tanya.

Dalam jawapan VOO dan SPUS tadi, AI sendiri tutup dengan ayat bahawa maklumat tu untuk pendidikan umum dan bukan saranan membeli atau menjual.

Penafian dan soalan susulan di hujung jawapan.
7
Ikon ☰ kanan atas

Buka perbualan lama atau mula perbualan baru

Tekan ikon di kanan atas skrin Moomoo AI. Skrin Chats terbuka dengan butang New Chat di atas, dan senarai soalan yang pernah anda tanya di bawahnya.

Mula perbualan baru setiap kali tukar topik. AI ambil kira apa yang dibincang sebelum ni dalam perbualan yang sama, jadi topik bercampur boleh buat jawapan jadi keliru.


Bahagian 3 — Tanya tentang satu saham

8
Halaman MAYBANK

Tekan ikon robot di halaman saham

Buka halaman mana-mana saham. Kita guna 1155 MAYBANK.

Di kanan atas halaman, sebelah ikon carian, ada ikon robot. Tekan ikon tu.

Moomoo AI terbuka dengan soalan cadangan khusus untuk saham tu. Untuk MAYBANK, cadangannya termasuk analisis menyeluruh Maybank, maksud RSI(6) yang masuk zon oversold, dan kesan terbitan bon USD700 juta.

Dari halaman saham ke Moomoo AI
Ikon robot di atas halaman saham.
Soalan cadangan khusus untuk MAYBANK.
9
Kotak Ask anything

Tanya soalan yang bantu anda faham perniagaan

Soalan paling berguna untuk pemula ialah soalan tentang perniagaan syarikat, bukan tentang harga esok. Kita taip:

Jawab dalam Bahasa Melayu mudah: Maybank buat duit dari mana, dan apa risiko utama perniagaan bank ni?

Kali ni jawapan terus keluar dalam Bahasa Melayu. Ia mula dengan Ringkasnya, kemudian pecahkan sumber pendapatan Maybank kepada beberapa bahagian, iaitu pendapatan faedah bersih, fi dan komisen, pelaburan, serta insurans dan takaful.

Arahan bahasa di awal soalan
Arahan bahasa diletak di awal.
Terus dalam Bahasa Melayu.
10
Skrol ke bawah jawapan

Baca jadual risiko dan kesimpulan

Bahagian seterusnya ialah jadual Risiko utama perniagaan. Setiap risiko ada lajur Maksud mudah, contohnya:

  • Risiko kredit — peminjam mungkin gagal bayar, dan bank terpaksa simpan duit untuk tampung kerugian
  • Risiko kadar faedah — kalau kos deposit naik lebih cepat daripada kadar pinjaman, margin bank mengecil

Jadual ni juga senaraikan risiko ekonomi, risiko pasaran dan mata wang, risiko kecairan, risiko operasi dan siber, serta risiko kawal selia.

Di hujung ada Kesimpulan dan satu soalan susulan yang AI tawarkan untuk sambung perbincangan.

Risiko dan kesimpulan
Setiap risiko ada maksud mudah.
Kesimpulan, kemudian penafian.
11
Nombor rujukan

Semak sumber — tekan nombor kecil dalam jawapan

Ini langkah yang paling penting dalam tutorial ni.

Perhatikan nombor kecil berkotak di hujung sesetengah ayat, contohnya selepas nombor keuntungan. Nombor tu ialah rujukan sumber. Tekan nombor tu.

Satu senarai Sources naik dari bawah. Untuk jawapan Maybank, sumbernya termasuk profil syarikat, penyata pendapatan dan kunci kira-kira dalam Moomoo, serta satu berita daripada The Edge Markets.

Setiap kali AI beri nombor, contohnya untung bilion ringgit atau nisbah pinjaman terjejas, tekan rujukan dan pastikan nombor tu memang ada dalam sumbernya. Kalau ayat tu tiada nombor rujukan, anggap ia pendapat AI dan semak sendiri.

Sources: dari mana AI ambil fakta.
12
Planning & Execution Complete

Tengok langkah kerja AI (pilihan)

Di atas setiap jawapan ada baris Planning & Execution Complete. Tekan anak panah di hujung kanannya untuk tengok langkah yang AI ambil: faham soalan, baca data syarikat, dan rancang jawapan.

Dalam cubaan kami, langkah-langkah ni dipaparkan dalam bahasa Cina walaupun jawapannya dalam Bahasa Melayu. Bahagian ni tak wajib dibaca. Jawapan dan senarai sumber jauh lebih berguna.

Langkah kerja AI. Tak wajib dibaca.

Bahagian 4 — Ringkasan AI dalam halaman saham

Selain chat, Moomoo AI juga tulis ringkasan untuk setiap saham. Anda tak perlu tanya apa-apa.

13
Halaman saham → Chart → skrol ke bawah

Daily Brief: ringkasan data dagangan

Buka halaman saham, kekal di tab Chart, dan skrol ke bawah melepasi carta dan barisan bid-ask. Bahagian Moomoo AI dengan lencana Member ada di situ.

Tab Daily Brief mula dengan tajuk ringkas, contohnya Closed below MA5; RSI dipped into oversold, flows mixed. Bawahnya ada Trading Data dengan label berwarna:

  • Bullish (hijau) — tanda yang AI anggap positif
  • Bearish (merah) — tanda yang AI anggap negatif
  • Neutral (kelabu) — tanda bercampur

Setiap ayat ada pautan kecil seperti Indicators › atau Trade Overview › yang bawa anda ke data asal. Butang Ask AI di bawah buka chat untuk tanya lanjut.

Label Bullish dan Bearish ialah tafsiran AI terhadap penunjuk teknikal, bukan arahan beli atau jual. Dalam contoh MAYBANK, ada tanda Bullish dan Bearish pada hari yang sama.

Menurut Help Center Moomoo, Daily Brief dikemas kini sebelum dan selepas pasaran dibuka setiap hari.

Daily Brief: Bullish, Bearish dan Neutral.
14
Tab Weekly Brief

Weekly Brief: berita penting minggu ni

Tekan tab Weekly Brief. Ringkasan mingguan ada bahagian Key Event, iaitu berita utama tentang syarikat dalam seminggu, setiap satu dengan label Bullish, Bearish atau Neutral.

Untuk MAYBANK, Key Event termasuk pengambilalihan penuh syarikat insurans Etiqa dan terbitan bon USD700 juta. Setiap berita ada label kecil seperti 3 Sources, iaitu bilangan sumber berita yang AI guna.

Weekly Brief: berita utama dan bilangan sumber.

Bahagian 5 — Lencana Member dan kuota

Bahagian Moomoo AI dalam halaman saham berlabel Member. Jadual faedah ahli Moomoo Malaysia pula senaraikan AI Stock Analysis sebagai faedah untuk tahap V1 ke atas. Jadi apa yang anda nampak dalam bahagian tu bergantung pada tahap ahli anda.

15
Tekan lencana Member → ikon ⓘ

Tiga tahap ahli, dikira ikut mata dalam 90 hari

Tekan lencana Member, kemudian ikon di sebelah tajuk Member Center. Halaman moomoo Membership terangkan tahap dan cara kiraan:

Tahap Mata ahli dalam 90 hari lepas
V1 999 dan ke atas
V2 6,888 dan ke atas
V3 23,888 dan ke atas

Mata ahli (Membership Points) datang daripada dua sumber:

  • Aset — 1 mata sehari untuk setiap RM1,000 aset bersih dalam akaun Moomoo MY. Duit dalam Cash Plus tak dikira.
  • Dagangan — 100 mata untuk setiap dagangan.

Sebagai gambaran kiraan, aset RM5,000 selama 90 hari beri 450 mata. Tambah 6 dagangan, dapat 600 mata lagi. Jumlahnya 1,050 mata, iaitu cukup untuk V1. Halaman Moomoo sendiri guna contoh yang sama.

Cara Moomoo kira tahap ahli
Tahap V1 hingga V3, dan cara kira mata.
AI Stock Analysis untuk V1 ke atas.
16
Member Center

Berapa kali boleh tanya Moomoo AI?

Jadual faedah tak senaraikan kuota chat Moomoo AI untuk setiap tahap. Yang kami nampak dalam akaun sendiri yang berada pada tahap V3 ialah Moomoo AI Assistant: 200 kali sebulan, tertera dalam Member Rewards.

Masa Moomoo AI dilancarkan di Malaysia pada Jun 2025, pengguna ditawarkan 5 soalan percuma untuk AI Assistant dan percubaan 30 hari untuk AI Stock Analysis. Tawaran macam ni boleh berubah, jadi semak Member Center dalam app anda sendiri untuk kuota terkini.

Jangan buat dagangan semata-mata nak kejar mata ahli

Setiap dagangan ada kos, dan 100 mata sedagangan boleh menggoda orang untuk beli dan jual lebih kerap daripada yang perlu. Moomoo AI membantu anda faham, tapi ia tak berbaloi kalau caj dagangan tambahan makan pulangan anda.


Soalan yang sesuai dan soalan yang patut dielak

Soalan yang membantu anda faham Soalan yang patut dielak
Syarikat ni buat duit dari mana? Saham mana akan naik minggu depan?
Apa risiko utama perniagaan ni? Patut saya beli sekarang?
Terangkan maksud Nisbah P/EHarga saham berbanding pendapatan syarikat — berapa anda bayar untuk setiap ringgit untung.Lihat dalam glosari → dengan contoh mudah Berapa harga saham ni hujung tahun?
Apa beza ETF A dengan ETF B? Semua duit saya patut masuk mana?
Kenapa untung syarikat ni turun suku lepas? Beri saya saham yang pasti untung

Soalan di lajur kanan minta AI ramal atau pilih untuk anda. Tiada siapa boleh ramal harga dengan pasti, termasuk AI. Jawapan untuk soalan jenis ni mungkin bunyi yakin, tapi keyakinan tu tak menjadikannya betul.


Kesilapan biasa bila guna Moomoo AI

1. Percaya nombor tanpa semak sumber. Tekan nombor rujukan kecil untuk semak dari mana nombor tu datang. Ayat tanpa rujukan perlu disemak sendiri.

2. Anggap Bullish bermakna beli. Label Bullish dan Bearish dalam Daily Brief ialah tafsiran penunjuk teknikal. Kedua-dua label boleh muncul untuk saham yang sama pada hari yang sama.

3. Letak arahan bahasa di hujung soalan. Letak “Jawab dalam Bahasa Melayu” di awal soalan supaya jawapan tak keluar dalam bahasa lain.

4. Campur banyak topik dalam satu perbualan. Tekan ☰ → New Chat setiap kali tukar topik.

5. Tanya AI saham mana nak beli. Guna AI untuk faham perniagaan dan risiko. Keputusan tetap milik anda.


Soalan lazim

Moomoo AI boleh faham Bahasa Melayu? Boleh. Soalan dalam Bahasa Melayu difahami. Tapi dalam cubaan kami, jawapan kadang-kadang keluar dalam bahasa Cina. Letak “Jawab dalam Bahasa Melayu” di awal soalan untuk hasil yang lebih konsisten.

Moomoo AI percuma ke? Bahagian Moomoo AI dalam halaman saham berlabel Member, dan jadual faedah senaraikan AI Stock Analysis untuk ahli V1 ke atas. Kuota chat pula bergantung pada akaun anda. Semak Member Center dalam app untuk kuota anda sendiri.

Boleh tanya menggunakan suara? Boleh. Tekan ikon mikrofon dalam kotak Ask anything.

Jawapan AI betul ke? Tak semestinya. Moomoo sendiri nyatakan jawapan AI tak dijamin tepat. Tekan nombor rujukan untuk semak sumber, terutamanya bila jawapan ada nombor.

Di mana saya boleh jumpa soalan yang pernah saya tanya? Tekan ikon di kanan atas skrin Moomoo AI. Senarai perbualan lama ada di skrin Chats.

Nak cuba tanya Moomoo AI sendiri?

Daftar guna link Daus, masukkan kod DAUSDK37 dalam "Special Deposit", deposit RM1,000 — RM150 untuk deposit RM1,000, sehingga RM1,500 untuk deposit lebih besar.

Daftar Moomoo & Claim Reward

Daus ialah Marketing Representative rasmi Moomoo Malaysia dan dapat komisen bila anda daftar & deposit. Tiada kos tambahan pada anda.