Cara baca graf saham dalam Moomoo (lilin, volume, MA) — untuk beginner

Panduan asas baca carta saham dalam app Moomoo. Maksud lilin hijau dan merah, pilih tempoh Daily atau Weekly, garis purata MA5 hingga MA30, bar volume, garis putus-putus, kenapa harga lama dalam carta boleh lain daripada 52wk Low, beza untuk bekas trader forex, dan apa yang carta tak boleh beritahu anda.

📂 Kaji Saham⏱️ Baca 10 minit
Nak cuba tekan sendiri dulu?Simulator 3 tekanan guna skrin app sebenar. Salah pun tak apa, tiada duit bergerak.

Bila anda buka mana-mana saham dalam Moomoo, benda pertama yang anda nampak ialah graf. Garis berwarna, batang hijau merah, dan nombor kecil di tepi. Ramai terus tutup sebab rasa ia untuk “orang trading” sahaja.

Sebenarnya graf ni cuma cerita harga dalam bentuk gambar. Tutorial ni ajar anda baca cerita tu, satu bahagian satu masa.

Daus bukan trader carta

Daus melabur jangka panjang dan tak buat content technical analysis. Jadi halaman ni ajar cara membaca graf, bukan strategi beli jual ikut corak graf. Untuk tahu sama ada syarikat tu bagus, graf sahaja tak cukup. Itu kerja analisis fundamental.

Peta skrin: enam bahagian di halaman saham

  1. Harga
  2. High/Low/Vol
  3. MA
  4. Volume
  5. Tempoh
Halaman saham MAYBANK. Carta 1 tahun, tempoh Daily.
  1. Harga dan perubahan. Harga terakhir, dan berapa ia naik atau turun hari ni. Hijau naik, merah turun.
  2. High, Low, Volume. Harga tertinggi dan terendah hari tu, dan berapa unit bertukar tangan.
  3. Baris MA. Nilai garis purata pada hari terakhir. Warna setiap nombor sama dengan warna garisnya dalam carta.
  4. Carta harga. Setiap batang kecil ialah satu “lilin”. Label kecil tunjuk harga tertinggi dan terendah dalam tempoh yang dipapar. Dalam contoh ni, 12.073 dan 8.853. (Kenapa 8.853 lain daripada 52wk Low dalam quote? Baca kotak di bawah.)
  5. Volume. Bar di bawah carta. Satu bar untuk satu lilin.
  6. Tempoh. Daily, Weekly, Monthly, Quarterly, atau jam dan minit.
Kenapa harga terendah dalam carta lain daripada 52wk Low?

Dalam carta 1 tahun MAYBANK ni, label terendah ialah 8.853. Tapi skrin Compare pada tarikh yang hampir sama tunjuk 52wk Low 9.516 untuk MAYBANK. Dua-dua nombor datang dari app yang sama.

Sebab yang paling mungkin: carta guna harga yang diselaraskan (adjusted) untuk dividen. Bila syarikat bayar dividen, harga saham biasanya turun lebih kurang sebanyak dividen tu pada hari ex-dividen. Supaya kejatuhan teknikal tu tak nampak macam rugi dalam carta, harga lama diturunkan sikit ikut dividen yang dah dibayar. MAYBANK bayar dividen yang agak besar setiap tahun, jadi harga setahun lepas dalam carta nampak lebih rendah daripada harga dagangan sebenar masa tu.

52wk Low dalam quote pula harga dagangan sebenar. Jadi bila nak tahu harga sebenar yang pernah didagangkan, rujuk quote. Bila nak tengok pulangan termasuk dividen dari masa ke masa, carta yang diselaraskan lebih adil. Daus belum jumpa penerangan rasmi Moomoo tentang pelarasan ni, jadi anggap ini penjelasan yang paling mungkin, bukan fakta yang dah disahkan.


1. Lilin: satu batang, empat harga

Setiap lilin ringkaskan pergerakan harga dalam satu tempoh. Kalau anda pilih Daily, satu lilin sama dengan satu hari dagangan.

Lilin hijau dan lilin merah dengan harga tinggi, buka, tutup dan rendahTinggiTutupBukaRendahTinggiBukaTutupRendahHijau = naikMerah = turun
  • Badan (kotak tebal) ialah jarak antara harga buka dan harga tutup.
  • Lilin hijau: harga tutup lebih tinggi daripada harga buka. Harga naik dalam tempoh tu.
  • Lilin merah: harga tutup lebih rendah daripada harga buka. Harga turun.
  • Sumbu (garis nipis atas dan bawah) tunjuk harga paling tinggi dan paling rendah yang sempat dicapai.

Sumbu yang panjang bermakna harga sempat pergi jauh, kemudian patah balik sebelum tempoh tu tamat. Badan yang pendek bermakna harga tutup hampir sama dengan harga buka.


2. Tempoh: Daily, Weekly atau Monthly

Tempoh yang anda pilih ubah rupa carta sepenuhnya, walaupun sahamnya sama.

Tempoh Satu lilin = Sesuai untuk
Daily Satu hari dagangan Tengok apa jadi minggu atau bulan ni
Weekly Satu minggu Tengok arah beberapa bulan hingga setahun
Monthly Satu bulan Tengok arah bertahun-tahun

Untuk pelabur jangka panjang, Weekly atau Monthly biasanya lebih jujur. Carta harian penuh dengan turun naik kecil yang tiada makna jangka panjang, dan satu hari merah boleh buat anda panik tanpa sebab.

Butang tempoh duduk di baris bawah carta. Tekan Weekly, dan setiap lilin terus jadi satu minggu.

  1. Weekly
  2. Carta 1D (hari ni sahaja)
Baris tempoh: tekan Weekly.

Di hujung kiri baris tu ada ikon kecil 1D. Ikon tu buka carta untuk hari dagangan ni sahaja, dalam bentuk garis yang bergerak minit demi minit. Ramai orang terbuka carta ni dulu dan rasa harga bergerak terlalu laju. Untuk pelabur jangka panjang, carta 1D jarang berguna, jadi tukar balik ke Daily atau Weekly.

Satu lagi: tekan dua jari dan cubit carta untuk zoom masuk atau keluar. Leret ke kiri untuk tengok sejarah lebih lama.


3. Garis MA: purata harga yang melicinkan hingar

Garis berwarna yang berjalan atas lilin ialah MA (moving average, purata bergerak).

  • MA5 ialah purata harga tutup untuk 5 lilin terakhir. Kalau tempoh Daily, itu 5 hari dagangan, lebih kurang seminggu.
  • MA10, MA20 dan MA30 sama, tapi untuk 10, 20 dan 30 lilin.

MA pendek (MA5) ikut harga rapat-rapat dan banyak berbengkang-bengkok. MA panjang (MA30) lebih licin dan lambat berubah. Bila harga kekal di atas MA panjang untuk tempoh lama, itu tanda harga sedang dalam arah menaik. Bila kekal di bawah, arahnya menurun.

Itu sahaja yang MA beritahu: arah. Ia tak beritahu kenapa, dan ia tak jamin arah tu berterusan.

Ingat juga, MA dikira ikut lilin, bukan ikut hari. Pada carta Daily, MA30 lebih kurang enam minggu dagangan. Pada carta Weekly, MA30 jadi 30 minggu, iaitu lebih tujuh bulan. Jadi kalau anda pelabur jangka panjang yang tengok carta Weekly macam yang dicadangkan dalam Bahagian 2, garis MA yang sama terus jadi gambaran arah yang lebih panjang.

Dalam contoh MAYBANK, baris MA tunjuk MA5 10.484, MA10 10.540, MA20 10.576 dan MA30 10.635, sedangkan harga semasa 10.380. Harga berada di bawah keempat-empat garis. Maksudnya dalam sebulan kebelakangan, harga lebih banyak turun daripada naik. Itu gambaran, bukan ramalan.


4. Volume: berapa ramai yang berdagang

Bar di bawah carta ialah volume, iaitu jumlah unit yang bertukar tangan dalam setiap tempoh. Warnanya ikut lilin di atasnya.

Bar yang tiba-tiba jauh lebih tinggi daripada biasa bermakna sesuatu berlaku hari tu. Contohnya keputusan kewangan, pengumuman dividen, atau berita besar. Kalau anda nampak lonjakan harga yang besar, tengok bar volume di bawahnya. Harga yang bergerak dengan volume tinggi biasanya disokong ramai orang. Harga yang bergerak dengan volume rendah lebih mudah berpatah balik.


5. Garis putus-putus dan penanda lain

Dalam carta Daily MAYBANK di atas, garis mendatar putus-putus berada pada paras harga terakhir, iaitu sekitar 10.380. Pada jenis carta lain, garis dan label boleh bermaksud lain, jadi semak nombor di hujung garis tu dulu. Moomoo boleh papar beberapa garis dan penanda lain. Tekan ikon di hujung kanan baris tempoh untuk buka menu More, kemudian Chart Markings:

Menu More dan Chart Markings
  1. Chart Markings
Menu More: Indicators, Line Type, Chart Markings.
  1. Garis kos purata anda
Hidup atau matikan setiap penanda.

Tiga yang paling berguna untuk beginner:

  • Position Cost Line — garis kos purata anda. Hidupkan kalau anda dah pegang saham tu. Terus nampak sama ada harga sekarang atas atau bawah kos anda.
  • Corporate Actions — bulatan biru kecil di bawah carta untuk dividen, pecahan saham dan terbitan hak. Ia terang kenapa harga kadang-kadang jatuh mendadak pada satu hari (contohnya hari ex-dividen).
  • High & Low Prices — label harga tertinggi dan terendah dalam tempoh yang dipapar.

Dalam menu More yang sama, Line Type boleh tukar lilin kepada garis biasa. Kalau lilin rasa terlalu serabut, carta garis dah cukup untuk tengok arah jangka panjang.


Datang dari forex atau MT5?

Kalau anda biasa trade forex dalam MetaTrader (MT4 atau MT5), carta Moomoo takkan rasa asing. Dalam menu More yang sama tadi, ada Indicators untuk tambah penunjuk teknikal pada carta, dan Draw untuk lukis garis sendiri. Tekan ikon di hujung kanan baris tempoh untuk buka menu tu.

  1. Penunjuk teknikal
  2. Alat lukis
Indicators dan Draw dalam menu More.

Tapi benda yang anda beli dalam Moomoo sangat lain daripada pair forex atau CFD:

  • Saham tu milik anda. Bila anda beli saham atau ETF, unit tu dipegang dalam akaun atas nama anda, dan anda layak terima dividen. Ia bukan kontrak beza harga dengan broker.
  • Tiada leverage bila beli guna tunai. Harga turun 10%, pegangan anda turun 10%. Tiada margin call yang paksa anda keluar, selagi anda tak guna pinjaman margin.
  • Pasaran tak buka 24 jam. Forex berjalan hampir 24 jam pada hari bekerja. Bursa buka waktu siang hari bekerja, dan pasaran US buka waktu malam Malaysia (sampai 31 Oktober 2026, 9:30 malam hingga 4 pagi; mulai 2 November, 10:30 malam hingga 5 pagi). Harga boleh melompat antara tutup semalam dan buka hari ni bila ada berita.
  • Corak carta bukan jaminan. Penunjuk teknikal yang anda guna dalam forex boleh dipasang dalam Moomoo, tapi untung rugi trading jangka pendek tetap susah. Kajian ke atas pedagang harian tunjuk majoriti besar rugi. Baca trading lawan labur jangka panjang sebelum bawa gaya day trading ke saham.

Satu perangkap untuk bekas trader forex: margin dalam Moomoo hidup secara default, jadi order yang lebih besar dari tunai terus jadi pinjaman.

Order lebih besar dari tunai = pinjaman

Margin hidup secara default. Kalau order lebih mahal dari tunai anda, Moomoo tampung bakinya dengan pinjaman ringgit pada kadar 6.8% setahun. Sebelum tekan Buy, semak Max Qty to Buy (Cash) — itu tunai sahaja. Max Qty to Buy tanpa "Cash" termasuk pinjaman. Cara semak dan tutup: margin dalam Moomoo.


Apa yang graf TAK boleh beritahu anda

  • Sama ada syarikat tu bagus. Graf tunjuk harga, bukan untung, hutang atau masa depan perniagaan. Untuk itu, baca tab Company.
  • Harga esok. Garis yang naik setahun boleh jatuh bulan depan. Corak lepas bukan janji.
  • Sama ada harga tu murah. Saham yang dah jatuh 30% boleh jatuh lagi 30%. Harga rendah berbanding tahun lepas tak sama dengan murah berbanding nilai syarikat.

Guna graf untuk faham apa yang dah berlaku, dan guna fundamental untuk faham kenapa. Kalau anda nak tengok pergerakan satu sektor penuh sekali gus, cuba Heat Map. Kalau nak banding beberapa saham atau ETF dalam satu carta, guna Compare.

Ni perkongsian cara guna app, bukan nasihat kewangan dan bukan isyarat beli jual.

Belum ada akaun Moomoo?

Bila dah ada RM1,000 sedia: daftar guna link Daus, masukkan kod DAUSDK37 dalam "Special Deposit" SEBELUM deposit pertama, deposit RM1,000 dalam 30 hari selepas daftar, tekan Claim sendiri, dan kekalkan deposit 60 hari. Lebih kurang RM150 untuk deposit RM1,000, sehingga RM1,500 untuk deposit lebih besar.

Daftar Moomoo & Claim Reward

Daus ialah Marketing Representative rasmi Moomoo Malaysia dan dapat komisen bila anda daftar & deposit. Tiada kos tambahan pada anda.

Tanya Daus